Ambil keberkatan bulan Ramadan

Ambil keberkatan bulan Ramadan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 28 Jun – Rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), kelmarin, telah berkunjung ke Masjid Pekan Seria, di sini, bagi Majlis Tadarus Al-Quran yang diselajurkan dengan penyampaian derma kepada seramai 44 orang anak yatim dari Kampung Pekan Seria.

Mengetuai rombongan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, yang turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan wakaf kepada masjid berkenaan.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad dan Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin, Pegawai Daerah Belait, Haji Harris bin Othman, Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Taib, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Belait serta ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pekan Seria.

Acara ini merupakan salah satu usaha KHEDN dalam mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara kementerian dan kepimpinan akar umbi serta penduduk mukim dan kampung di Daerah Belait.

Ia juga merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan kementerian tersebut dalam meraih kemanfaatan dan pahala dalam bulan Ramadan ini di samping memakmurkan masjid-masjid berkenaan bersama penduduk di sekitarnya.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin mengetuai rombongan bertadarus di Masjid Pekan Seria.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin mengetuai rombongan bertadarus di Masjid Pekan Seria.
Dato Paduka Dr Haji Affendy ketika menghadiri Program Bertadarus Al-Quran Belia.
Dato Paduka Dr Haji Affendy ketika menghadiri Program Bertadarus Al-Quran Belia.

pg04_150629_d

Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.

Dalam acara berasingan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Cawangan Daerah Belait, kelmarin, turut menganjurkan Program Bertadarus Al-Quran Belia Bulan Ramadan di Masjid Perpindahan Kampung Pandan Kuala Belait, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di KKBS, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan diikuti dengan bacaan Al-Quran oleh peserta belia dan pegawai serta kakitangan KKBS secara bergilir-gilir.

Seramai 300 belia dari Daerah Belait meneruskan acara dengan bacaan takhtim dan kemudian diteruskan lagi dengan bacaan Tahlil dan doa selamat.

Sejak program ini dianjurkan pada tahun 2003, ia telah melibatkan banyak pihak termasuklah agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan belia, orang perseorangan dan tidak ketinggalan golongan belia.

Antara tujuannya adalah untuk meningkatkan kesefahaman belia tentang kepentingan membaca dan menghayati Al-Quran sebagai panduan hidup dan untuk mempertingkatkan serta mengukuhkan persefahaman dan kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia.

Penganjuran program seumpama ini diharap akan dapat meningkatkan lagi penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan yang sudah setentunya berupaya menjadi benteng buat generasi belia dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

ARTIKEL YANG SAMA