Ambil langkah sesuai hadapi musim tengkujuh

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD) menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah atau perancangan yang bersesuaian dalam menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba serta sentiasa peka dengan amaran dan nasihat cuaca yang dikeluarkan pihak jabatan untuk meningkatkan keselamatan dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

BDMD dalam kenyataannya menjelaskan, Monsun Timur Laut di negara ini dijangka bermula pada Disember 2017 sehingga Mac 2018 dan secara purata pada Disember dan Januari, yang juga dikenali sebagai musim tengkujuh, aktiviti turunan hujan adalah sangat aktif dengan kejadian hujan dan hujan berpetir berintensiti lebat sekali-sekala terutama pada waktu sebelah petang dan malam.

Seperti kejadian-kejadian yang lepas, hujan lebat yang berlaku untuk tempoh lebih dua jam akan mengakibatkan risiko kejadian banjir atau banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir, atau kejadian tanah susur dan ia boleh menjadi lebih teruk apabila bertembung dengan kejadian air pasang.

Luruan angin Timur Laut yang kuat juga boleh meningkatkan ketinggian ombak di perairan Brunei dari paras sederhana hingga ke paras bergelora.

BDMD turut menyatakan bahawa pihak mereka akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

Orang ramai dinasihatkan supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang ramai juga dapat menghubungi pegawai peramal kaji cuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.