Ambil peluang kejurulatihan

Ambil peluang kejurulatihan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) terus komited dan menaruh harapan tinggi dalam usaha untuk meningkatkan mutu kejurulatihan sukan bola sepak di negara ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif NFABD, Haji Mohd Noor Haji Abdul Hamid ketika hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Pembukaan Kursus Kejurulatihan AFC ‘B’ di NFABD House di Berakas baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan pembangunan itu perlu selaras dan progresif dengan rancaknya Liga Super dan Perdana Brunei DST 2016 dan sebagai salah satu garis pandu NFABD supaya setiap jurulatih mempunyai pengiktirafan kejurulatihan B menjelang penghujung tahun 2016 ini.

“Namun apa yang perlu diberikan perhatian ialah keadaan beberapa buah pasukan dan kelab di dalam liga tempatan yang masih belum mempunyai jurulatih yang bersijil dan ia amat dikesali kerana NFABD telah banyak kali menganjurkan kursus yang relevan buat mereka,” ujar Haji Mohd Noor.

Haji Mohd Noor ketika hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Pembukaan Kursus Kejurulati-han AFC ‘B’ di NFABD House.
Haji Mohd Noor ketika hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Pembukaan Kursus Kejurulati-han AFC ‘B’ di NFABD House.

Menurutnya, melalui kursus ini, jurulatih dihasratkan akan terus komited dan proaktif serta sedia dan sanggup meluangkan masa untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat kelab masing-masing baik di dalam liga super atau perdana.

Dalam ucapannya lagi, beliau menyeru supaya setiap ilmu dan pengetahuan yang diperoleh daripada kursus seperti ini akan dimanfaatkan bagi perkembangan bola sepak dan kelab masing-masing.

“Sudah tiba masanya kita mengorak langkah membentuk pasukan-pasukan yang diterajui oleh pemain akar umbi kerana ia satu keperluan bagi melahirkan pemain bola sepak muda yang berbakat dan berpotensi dengan dorongan jurulatih yang berpengetahuan,” ujarnya.

Kursus seperti ini bukan sahaja mampu memberikan ilmu dan pengetahuan baru kepada jurulatih malah memberikan mereka keyakinan dan kelebihan dalam menyalurkan bakat kepada pembangunan skuad pelapis negara.

ARTIKEL YANG SAMA