Ambil pendekatan baru

Ambil pendekatan baru

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Acara-acara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun diharap akan dapat memperlihatkan pendekatan-pendekatan yang baru.

Dengan pembaharuan dan penambahbaikan sebagai nilai tambah serta mewalihkan lagi acara-acara sambutan perayaan supaya ia boleh menarik penyertaan dan penglibatan semua lapisan masyarakat daripada pelbagai pihak, peringkat, lapisan masyarakat dan kaum yang mewakili mukim dan kampung, pelajar dan penuntut sekolah dan institusi pendidikan, persatuan belia, pertubuhan awam dan bukan awam, syarikat swasta serta kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan dengan konsep dan format yang berlainan yang akan dapat menjadi ristaan.

“Semua ini adalah semata-mata bagi mencerminkan semangat perpaduan, persefahaman, keharmonian, permuafakatan, kerjasama dan sokongan serta membuktikan rasa taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

“Perkara ini setentunya akan dapat difikirkan bersama-sama bagi menyambut Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-70 tahun ini supaya akan melakar suasana yang lebih meriah dan menarik dengan kelainan dan keunikan yang tersendiri.

“Walau bagaimanapun, sebarang kelainan dan keunikan itu hendaklah tidak mengabaikan tatasusila keBruneian dan agama,” tegas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.)Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam ucapan alu-aluannya, semasa mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun, di Dewan Persantapan Lapau, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyampaikan ucapan alu-aluan pada mesyuarat berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyampaikan ucapan alu-aluan pada mesyuarat berkenaan.
Antara yang menghadiri mesyuarat itu, kelmarin.
Antara yang menghadiri mesyuarat itu, kelmarin.

Yang Berhormat Pehin juga menyatakan harapan supaya ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan dan pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Tertinggi bagi acara-acara utama supaya memulakan permesyuaratan mereka bagi membuat perancangan dan persediaan yang seawal-awalnya.

Saranan ini juga adalah bagi pegawai-pegawai daerah selaku pengerusi kepada Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan di peringkat daerah bagi bersama-sama memikirkan dan mengenal pasti acara-acara perayaan yang bersesuaian dan juga konsep dan format serta atur cara Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi Majlis Junjung Ziarah dan Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk di daerah-daerah yang berkenaan, ulas Yang Berhormat Pehin lagi.

Hadir semasa mesyuarat berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin, Yang Amat Mulia Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad bin Pengiran Mohd Yusof, pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai daerah, pemangku pegawai daerah, para pegawai eksekutif dari sektor swasta dan pegawai-pegawai kerajaan.

Mengulas mengenai acara tarikh Hari Keputeraan 15 Julai 2016, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa ia akan jatuh dalam bulan Syawal, oleh itu, dalam mesyuarat berkenaan, mereka akan membincangkan cadangan dan sokongan bagi bermulanya serta tarikh acara-acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan bagi disembahkan kehadapan majlis Baginda Sultan bagi menjunjung kurnia titah mengenainya.

“Saya mengambil maklum bahawa pihak urus setia telah pun menyediakan kertas kerja perbincangan bagi cadangan tarikh-tarikh Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan pada tahun ini dengan juga mengambil kira ‘benchmark’ bermula acara-acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan pada tahun-tahun sebelum ini.”

Tambah Yang Berhormat Pehin, “Begitulah juga cadangan bagi ketetapan tarikh-tarikh bagi pelaksanaan acara-acara utama Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan pada tahun ini.”

Yang Berhormat Pehin juga mengambil maklum bahawa pihak kementeriannya dan pegawai-pegawai daerah serta pemangku pegawai daerah telah pun mengadakan post-mortem masing-masing mengenai acara-acara perayaan dan juga tatacara pengendalian majlis-majlis berkenaan yang telah diadakan pada 2015 dengan hasrat bagi pengemaskinian serta dapat dijadikan sebagai sukat-sukat atau pengajaran dalam bersama-sama berusaha dengan lebih tekun dan gigih lagi untuk memperbaiki mutu serta kesempurnaan acara-acara perayaan pada 2016.

ARTIKEL YANG SAMA