Ambil pendekatan jitu tingkatkan ekonomi

Ambil pendekatan jitu tingkatkan ekonomi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Kelonggaran dalam ‘Ease of doing Business’ dan mengemaskinikan peraturan-peraturan sahaja tidak memadai atau mampu untuk mengangkat atau meningkatkan tahap sektor bukan minyak dan gas di negara ini.

Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad semasa membahaskan usul menjunjung kasih pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara petang tadi berkata pada masa ini, ‘Ease of doing Business’ telah diusahakan dan sudah beroperasi.

Beliau yang juga selaku Ketua Kampung Lumut 1, Mukim Liang, Kuala Belait berkata, beberapa undang-undang dan peraturan yang ada hubung kait dengan perusahaan dan perniagaan di tanah air telah pun dikemaskinikan semata-mata untuk memesrakan dan menyenangkan aktiviti perusahaan dan perniagaan di negara ini.

“Sepanjang 12 kali permesyuaratan diadakan kita sering membincangkan hal mempelbagaikan ekonomi negara daripada terus bergantung kepada sektor minyak dan gas. Kita tidak menafikan bahawa banyak usaha telah diungkayahkan oleh beberapa agensi kerajaan untuk menuju ke arah matlamat tersebut.”

Namun, katanya, iklim perusahaan dan perniagaan masih di tahap yang mendatar dan belum berjaya serta boleh dibanggakan kerana kita masih lagi bergantung kepada sektor minyak dan gas.

Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee.
Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee.

pg08_160309_MMN-_LogoBeliau berkata, terdapat beberapa pendekatan dan cabaran-cabaran yang harus dipertimbangkan bersama bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara antaranya cara pemikiran pengusaha-pengusaha dan peniaga haruslah mahu berubah untuk berkembang dan berani meneroka pasaran bukan sahaja di dalam negeri dan juga di luar negara.

“Kedua pula ialah pihak-pihak berkenaan jangan kendur-kendur untuk terus berusaha membantu dan membimbing para pengusaha dan peniaga yang aktif di dalam bidang masing-masing seperti pemakanan produk halal, pelancongan, pengangkutan, pertanian, penternakan ayam, ikan dan lain-lain lagi sehingga mereka mencapai kejayaan, begitu juga kepada para usahawan belia kerana mereka inilah harapan kita untuk meneruskan hasrat negara bagi mencapai Wawasan 2035.”

Pendekatan ketiga, tambah Yang Berhormat, adalah meneruskan kursus-kursus keusahawanan dan jerayawara bagi memberi suntikan kefahaman dan semangat kepada mereka serta ajar dan bimbing mereka ke arah bekerjasama dengan pelaburan langsung asing (FDI) dan pengusaha-pengusaha di luar negara.

“Kita penuh berharap tertubuhnya pusat untuk pengusaha kecil dan sederhana serta Darussalam Enterprise akan dapat merealisasikan hasrat murni ini. Sediakan kemudahan pinjaman kewangan yang berpatutan bagi membantu perusahaan dan perniagaan mereka berkembang.”

Keempat, jelasnya, ialah produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang diusahakan oleh penduduk kampung di seluruh negara yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal dan orang-orang yang kurang upaya agar tidak dipandang kecil akan usaha mereka kerana produk ini tidak mustahil akan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu juga, Yang Berhormat mempelawa pihak swasta, dewan-dewan perdagangan dan perniagaan yang beroperasi di negara ini serta para pengusaha dan peniaga tempatan yang sudah bertapak dan berjaya supaya dapat menyumbang sama mengembang majukan ekonomi negara sebagai sumbangan mereka terhadap bangsa dan negara.

Di samping itu, kerjasama daripada duta-duta negara ini yang berada di luar negara untuk terus berusaha memainkan peranan mereka dalam mengenal pasti peluang-peluang perniagaan dan perusahaan yang bersesuaian dan berpatutan dengan kemampuan para peniaga dan pengusaha di negara ini.

Yang Berhormat mencadangkan bahawa perkara-perkara yang telah digariskan tadi untuk dipusatkan di bawah satu agensi kerajaan yang penuh bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Yang Berhormat menyeru agar masyarakat di negara ini dapat berganding bahu, bersatu dalam semua perkara demi menjana ekonomi negara di samping mempertahankan falsafah MIB di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA