Ambil tindakan tanah terabai

Ambil tindakan tanah terabai

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 20 Mei – Pemaju-pemaju Ladang Kawasan Pertanian Luar Bandar Sungai Lalit, (KPLB) berharap pihak Jabatan Pertanian akan bertindak segera untuk mengambil balik tanah-tanah yang terabai dan ditinggalkan oleh pemiliknya di kawasan berkenaan.

Ini supaya keadaan persekitaran ladang kembali ceria seperti dulu, sekali gus memberikan peluang kepada pengusaha lain yang benar-benar serius.

Ketua Ladang KPLB Sungai Lalit, Haji Mohd Tahir bin Mohd Yussoff, 72, ketika ditemui Media Permata, hari ini, melahirkan rasa kecewa melihat keadaan persekitaran tanah ditinggalkan terabai, dan kembali ditumbuhi lalang dan pokok-pokok liar.

Menurut Haji Mohd Tahir yang telah mengusahakan ladangnya sejak lebih 20 tahun lalu, beliau sendiri pada masa ini tidak begitu berani datang sendiri ke ladang, kerana keadaan usia sudah lanjut, dan khuatir jika berlaku sebarang kejadian dan tiada siapa yang mengetahui kerana ladang jauh dari kawasan penduduk kampung di sana.

Beliau memberitahu, pada tahun 1993, Jabatan Pertanian telah memberikan tanah seluas kira-kira lebih 200 hektar di KPLB Sungai Lalit untuk dimajukan.

Tanaman cili padi yang kering, akibat cuaca panas dan kering yang berpanjangan sejak tahun lepas.
Tanaman cili padi yang kering, akibat cuaca panas dan kering yang berpanjangan sejak tahun lepas.
Haji Mohd Tahir, salah seorang pemaju KPLB Sungai Lalit sejak 20 tahun, agak kecewa kerana generasi muda kurang berminat menyambung perusahaan mereka di bidang pertanian ini.
Haji Mohd Tahir, salah seorang pemaju KPLB Sungai Lalit sejak 20 tahun, agak kecewa kerana generasi muda kurang berminat menyambung perusahaan mereka di bidang pertanian ini.

Kemudian setahun selepas itu, pada tahun 1994, kira-kira 237 orang yang telah memajukannya dan mereka secara automatik menjadi ahli-ahli Koperasi Ladang Kominat Kampung Sungai Lalit yang juga ditubuhkan pada sekitar tahun tersebut.

“Tetapi pengusaha yang aktif telah menurun sehingga pada masa ini hanya tinggal seramai kira-kira lebih 30 orang sahaja, mengusahakan sendiri dan ada yang dibantu oleh pekerja asing, kerana ada juga pemaju yang sudah meninggal dunia, dan sebagainya dan anak-anak muda tidak berminat untuk menyambung perusahaan orang tua mereka di bidang pertanian ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, beberapa tahun lalu, mereka telah diberitahu bahawa Jabatan Pertanian akan mengambil balik tanah yang sudah ditinggalkan tanpa diusahakan lagi.

“Tetapi sampai hari ini, tiada sebarang tindakan dilakukan, dan keadaan persekitaran ladang semakin banyak yang terbiar dan sunyi, termasuk rumah-rumah kebun yang ditinggalkan kosong dan buruk, yang dikhuatiri boleh mengundang kejadian yang tidak sihat seperti isu sosial dan sebagainya,” kata Haji Mohd Tahir lagi yang juga merupakan bekas guru sekolah rendah.

Beliau dan ahli-ahli KPLB Sungai Lalit yang lain, amat berharap supaya perkara itu diambil serius, sambil menambah “Saya berharap untuk melihat kembali keceriaan persekitaran ladang, seperti yang kami lakukan sekitar tahun 1994 dulu, dan saya sendiri pada masa itu masih bekerja, dengan begitu bersemangat tidak mengenal lelah, apabila pulang daripada kerja, terus mengusahakan ladang”.

Haji Mohd Tahir yang diberikan tanah seluas kira-kira dua hektar, kini mempunyai kira-kira 100 pohon buah-buahan tempatan yang berbuah secara bermusim seperti durian, langsat, cempedak, kembayau, rambutan dan sebagainya.

Hasil daripada tanamannya itu hanya dijual kepada orang yang datang ke ladangnya atau ke rumahnya, selain turut menjualnya kepada pemborong yang berdagang di tamu, pasar dan sebagainya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, penghasilan pada tahun lalu hingga ke tahun ini, agak berkurangan berikutan keadaan cuaca panas dan kering diiringi kemarau panjang dan berharap hampir penghujung tahun nanti, keadaan cuaca kembali baik dan menyuburkan semula buah-buahan dan tanaman mereka di ladang itu.

Pengusaha lain yang ada pada masa ini, juga menanam buah-buahan tempatan, selain terdapat seramai 13 orang pengusaha KPLB di sana yang mengusahakan tanah mereka dengan penanaman sayur-sayuran dan jagung manis.

Terdapat juga pengusaha aktif yang masih bekerja sepenuh masa dan dibantu pekerja mereka dalam kalangan warga asing untuk mengusahakannya.

Melalui catatan Statistik Pertanian dan Agrimakanan 2014, terdapat tiga kawasan KPLB di Daerah Belait yang masih diusahakan dengan aktif iaitu di kawasan Sungai Lalit A oleh seramai 32 orang peladang, KPLB Sungai Lalit B, seramai 50 orang manakala KPLB Pak Natu seramai 32 orang.

Ketiga-tiga kawasan tersebut merupakan KPLB Daerah Belait dengan keluasan 317 hektar, diusahakan oleh seramai 392 peladang, bagaimanapun hanya 133 kawasan yang aktif diusahakan oleh 114 orang peladang.

Melalui pecahannya, KPLB Sungai Lalit A seluas 28 hektar, diusahakan oleh 32 orang pengusaha dan masih aktif, manakala KPLB Sungai Lalit B seluas 120 hektar diusahakan oleh 140 orang peladang, bagaimanapun, hanya seluas 73 hektar yang masih aktif diusahakan oleh seramai 50 orang peladang, dan KPLB Pak Natu seluas 169 hektar diusahakan seramai 211 peladang, kawasan yang aktif seluas 32 hektar dengan diusahakan oleh seramai 32 orang peladang.

ARTIKEL YANG SAMA