Ambil tindakan tangani jerebu

Ambil tindakan tangani jerebu

KUCHING, 5 Ogos – Indonesia telah mengambil tindakan serius untuk mengelakkan masalah jerebu merentas sempadan daripada berlaku tahun ini ekoran pembakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jaminan itu diberikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Dr Siti Nurbaya Bakar.

Katanya jaminan itu diberikan ketika mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo di Jakarta awal minggu ini.

Wan Junaidi berkata demikian kepada media di sini selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM99,000 kepada 34 pertubuhan dan persatuan.

Pada masa sama, isterinya Datin Seri Foena Junaidi turut menyampaikan sumbangan RM5,400 daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) kepada sembilan pelajar.

Wan Junaidi berkata Siti Nurbaya turut memaklumkan kepadanya kerajaan Indonesia telah menarik balik banyak konsesi balak sebagai tindakan tegas mereka.

“Sebagai tambahan, Indonesia, menurut Siti Nurbaya, turut sedia menggerakkan kira-kira 3,000 anggota tentera dan polis untuk memantau serta mengambil tindakan segera memadamkan kebakaran hutan,” katanya.

Beliau berkata Indonesia memandang serius masalah itu kerana rakyatnya turut terjejas teruk apabila jerebu berlaku.

Mengenai Sidang Kemuncak Hutan Tropika di Brunei awal minggu ini yang dihadirinya, Wan Junaidi berkata usaha Malaysia melindungi dan memulihara hutan menerusi pengurusan hutan mampan mendapat penghormatan daripada sembilan negara yang menghadirinya.

Ia juga meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik bagi mendapatkan dana Perubahan Iklim dari negara membangun untuk melakukan lebih banyak program pemulihan dan pemuliharaan, katanya.

Sementera itu, katanya, beberapa negara Pasifik Selatan seperti Fiji, Timor Leste dan Kepulauan Solomon juga berminat mempelajari sistem pengurusan hutan mampan yang diguna pakai di Malaysia, bagi melindungi mereka daripada cuaca yang buruk berikutan perubahan iklim.

Katanya usaha Malaysia menerusi projek Heart of Borneo (HOB) membabitkan Sarawak dan Sabah (serta Brunei dan Indonesia) dan Projek Central Forest Spine di Semenanjung membolehkannya memulihara dan juga meluaskan kawasan hutan tropika dan habitat semula jadi hidupan liar.

“Keseluruhan HOB akan membolehkan dunia memiliki 200 juta hektar hutan tropika apabila dilaksanakan sepenuhnya.

“Jumlah keseluruhan kawasan hutan menerusi HOB dan Central Forest Spine (menguruskan kawasan hutan yang kecil berikutan proses pembangunan) kini berada pada tahap 55.36 peratus dan mampu mencapai 60 peratus daripada keseluruhan kawasan itu pada masa hadapan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA