Ambulans hospital diguna dalam serangan bom

Ambulans hospital diguna dalam serangan bom

PATTANI, 24 Ogos – Polis Thailand mengesahkan kenderaan yang digunakan dalam serangan bom ke atas sebuah hotel di Pattani malam tadi adalah ambulans hospital.

Ketua Polis Wilayah Pattani Mejar Jeneral Thanongsak Wangsupa berkata ambulans itu telah dicuri daripada Hospital Pakaharang di Muang, Pattani pukul 10 malam (waktu tempatan) tadi sebelum dipasang dengan bahan letupan.

“Ambulans itu kemudiannya diletakkan di depan Hotel Southern View dan meletup pada jam 11:30 malam, menyusuli letupan bom buatan sendiri di pusat hiburan pada 11 malam,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata dua suspek terlibat dalam serangan bom di hotel berkenaan iaitu pemandu ambulans terbabit dan seorang penunggang motosikal yang mengambilnya selepas itu dalam usaha mereka melarikan diri.

Thanongsak berkata pihak polis turut mengambil keterangan empat sukarelawan yang bertanggungjawab ke atas ambulans itu.

Jeneral Chakthip Chaijinda (depan, kanan) melawat tapak letupan bom maut dari malam sebelumnya di luar sebuah hotel di selatan Wilayah Pattani pada 24 Ogos. – AFP
Jeneral Chakthip Chaijinda (depan, kanan) melawat tapak letupan bom maut dari malam sebelumnya di luar sebuah hotel di selatan Wilayah Pattani pada 24 Ogos. – AFP

Dalam insiden itu, sebutir bom buatan sendiri dan bom yang dipasang pada sebuah kenderaan meletup selang beberapa minit di pusat hiburan serta hotel di tengah-tengah bandar Pattani, mengakibatkan seorang wanita maut dan 35 lagi cedera.

Empat mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal di Hospital Pattani.

Sebutir lagi bom meletup di daerah Nongchik pada 12 tengah malam namun tidak menyebabkan kecederaan dan kematian.

Thanongsak juga berkata bom pada kenderaan yang diletak di depan Hotel Southern View setinggi lapan tingkat dengan 85 bilik itu diledakkan menggunakan jam digital.

Beliau berkata hotel berkenaan serta 10 premis perniagaan berhampiran, lima kereta dan tujuh motosikal turut mengalami kerosakan teruk akibat letupan itu.

Satu mesyuarat Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), yang sepatutnya berlangsung hari ini, dibatalkan susulan insiden itu, katanya.

SBPAC merupakan agensi kerajaan pusat yang bertanggungjawab terhadap pembangunan ekonomi dan sosial di seluruh selatan Thailand.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Thailand Jeneral Chaktip Chaijinda yang meninjau lokasi serangan bom di Pattani hari ini berkata Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha bimbang dengan situasi terkini di wilayah bergolak itu.

Chaktip berkata Timbalan Perdana Menteri Jeneral Prawit Wongsuwan, yang bertanggungjawab berkaitan isu keselamatan, telah mengarahkan beliau bermesyuarat dengan pegawai keselamatan di Pattani.

“Ia bagi membolehkan tindakan dapat dipertingkatkan untuk menjaga dan mengawal keselamatan di kawasan bandar Pattani,” katanya sambil menambah pihak keselamatan akan bekerja keras dalam memburu suspek serangan bom itu.

Chaktip dan beberapa pegawai kanan polis tiba di Pattani pagi ini.

Setakat ini, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab melakukan serangan bom malam tadi. – Bernama