Amec dapat ko...

Amec dapat kontrak rejuvenasi BSP

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Dalam menyokong visinya untuk menjadi syarikat minyak dan gas yang kompetitif menjelang 2020, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah melaksanakan program rejuvenasi untuk memperbaiki kebolehpercayaan dan ketersediaan aset BSP.

Sehubungan itu, BSP telah memilih Amec Foster Wheeler untuk mengusahakan pemilihan konsep, Front End Engineering Design (FEED), rekaan terperinci, pembinaan, penyiapan dan tempahan, pengurusan marin, pengurusan pembuatan, pemerolehan dan pengurusan projek bagi program berkenaan.

Penandatangan kontrak di antara kedua-dua buah syarikat berkenaan telah diadakan baru-baru ini, oleh Pengurus Penghapusan dan Pemulihan Aset BSP, Niels Dijksman dan Presiden Sokongan Aset Amec Foster Wheeler, Jim Lenton.

BSP dalam kenyataannya berkata, kontrak di antara BSP dan Amec Foster Wheeler akan berjalan bagi penggal permulaan selama lima tahun bermula Februari 2017.

Kenyataan itu menjelaskan, elemen-elemen pembangunan perniagaan tempatan merupakan komponen penting dalam perkongsian berkenaan.

Penandatangan kontrak di antara kedua-dua buah syarikat berkenaan telah dilakukan oleh Niels Dijksman dan Jim Lenton.
Penandatangan kontrak di antara kedua-dua buah syarikat berkenaan telah dilakukan oleh Niels Dijksman dan Jim Lenton.

Sebagai sebahagian daripada kontrak berkenaan, pembangunan setempat yang signifikan di Brunei sedang dirancang, termasuk mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan, penggunaan rangkaian bekalan tempatan dan pembangunan keupayaan-keupayaan tempatan sepanjang projek berkenaan.

Kontrak berkenaan akan mempergunakan penyampaian cekap dan efektif ‘More 4 Less’ Amec Foster Wheeler yang pada asalnya dibangunkan untuk memenuhi cabaran-cabaran industri minyak dan gas Laut Utara yang matang.

Ini akan digabungkan dengan kepakaran brownfield bertaraf dunia syarikat itu dan keha-dirannya di rantau ini serta keupayaan penyampaian global, untuk meningkatkan prestasi dan integriti aset, memaksimumkan pemulihan daripada telaga-telaga matang, menurut kenyataan itu lagi.

Pengarah Urusan BSP, Andrew Faulkner dipetik sebagai berkata, “Program rejuvenasi BSP, yang memfokuskan ke atas aset-aset utama BSP, adalah kunci dalam menopang proses penambahbaikan berterusan BSP dan sumbangan-sumbangannya pada masa depan kepada Brunei Darussalam.”

Sementara itu, Presiden Minyak, Gas dan Kimia, Amec Foster Wheeler, John Pearson pula melahirkan rasa gembira bahawa gabungan unik kepakaran brownfield, budaya selamat dan cekap ‘More 4 Less’, keupayaan global dan komitmen mereka kepada pembangunan setempat digunakan bersama-sama untuk mengendalikan kerja rejuvenasi yang penting bagi BSP.