AMEM tumpu ASEAN yang lebih cekap tenaga

AMEM tumpu ASEAN yang lebih cekap tenaga

SINGAPURA, 6 Okt (Bernama) – Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Tenaga (AMEM) ke-33 di Kuala Lumpur akan menumpukan peningkatan kerjasama ke arah ASEAN yang lebih hijau dan lebih cekap tenaga, menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura.

Mesyuarat itu bertema ‘Memperkasakan ASEAN Ke Arah Komuniti Yang Lebih Hijau’. Menteri Perdagangan dan Industri (Industri), S.Iswaran, akan menghadiri mesyuarat dua hari itu mulai hari ini.

Menurut MTI dalam satu kenyataan, menteri-menteri berkenaan akan membincangkan pendekatan bagi menyegerakan kemajuan projek prasarana tenaga utama, iaitu saluran paip gas Trans-ASEAN dan grid kuasa ASEAN.

Sebaik sahaja siap, projek berkenaan akan memudahkan perdagangan tenaga rentas sempadan dan menggalakkan sektor swasta menyertai pasaran tenaga ASEAN bersepadu pada masa depan.

Sebagai tambahan, MTI berkata, menteri-menteri berkenaan akan mengesahkan fasa pertama pelan tindakan lima tahun baharu untuk peningkatan kerjasama tenaga dan keselamatan.

Pelan itu mengandungi langkah jangka pendek dan sederhana seperti memulakan perdagangan elektrik pelbagai pihak dalam kalangan negara ASEAN, meningkatkan perkongsian tenaga boleh diperbaharu dalam campuran tenaga ASEAN dan membina keupayaan bagi kuasa nuklear dan keselamatan.

Sebagai sebahagian daripada Anugerah Tenaga ASEAN 2015, tujuh organisasi Singapura akan menerima hadiah daripada menteri-menteri ASEAN atas amalan terbaik dalam pengurusan tenaga dan projek tenaga boleh diperbaharu.

Organisasi berkenaan adalah ITE College Central, UOB Plaza 1, Bangunan Pentadbiran Pelabuhan Jurong, Mat Jambol House, Pusat Kewangan Ocean, United World College of Southeast Asia (East Campus), dan Eco Wise Marina Power Pte Ltd.

Bermula pada 2000, anugerah tahunan itu bertujuan menggalakkan kerjasama serantau dalam projek tenaga dan mewujudkan peluang untuk sektor swasta terlibat dalam pembangunan tenaga ASEAN.

Seperti tahun-tahun terdahulu, menteri-menteri ASEAN akan bersama-sama rakan dialog tenaga utama masing-masing iaitu, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Rusia, Amerika Syarikat dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Iswaran akan diiringi pegawai Kementerian Perdagangan dan Industri serta Lembaga Pasaran Tenaga.