Amerika Syarikat, Cuba tumpu buka semula kedutaan

Amerika Syarikat, Cuba tumpu buka semula kedutaan

WASHINGTON, 21 Mei – Amerika Syarikat (AS) dan Cuba meneruskan rundingan hari ini bertujuan mengatasi halangan kepada pembukaan kedutaan di ibu negara masing-masing dan menjalin semula hubungan diplomatik, langkah penting seterusnya dalam pemulihan ketegangan bersejarah mereka.

Kedua-dua pihak telah melaporkan perkembangan dalam pencapaian satu perjanjian, sebahagian daripada perjanjian yang dimeterai di antara Presiden AS, Barack Obama dan Presiden Cuba Raul Castro pada Disember. Sebaik sahaja hubungan diplomatik dipulihkan, dua musuh lama itu akan mengusahakan tugas yang lebih rumit untuk memulihkan hubungan keseluruhannya.

Namun Washington mahu jaminan bahawa diplomatnya perlu diberikan lebih banyak kebebasan pergerakan, sementara Castro pada minggu ini mengulangi semula kebimbangan penduduk Cuba bahawa penentang sedang menerima latihan ‘tidak sah’ di Seksyen Kepentingan Amerika Syarikat di Havana.

Penolong Setiausaha Negara AS, Roberta Jacobson memberi jaminan kepada penggubal undang-undang dalam keterangan semalam bahawa Washington tidak akan bersetuju dengan pembukaan sebuah kedutaan di Havana tanpa diplomatnya dibenarkan berkunjung ke luar ibu negara.

Kedua-dua negara mempunyai kepentingan dan bukannya kedutaan di ibu negara masing-masing. Buat masa sekarang, diplomat AS dan Cuba tidak boleh meninggalkan ibu negara. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA