Amir Kuwait melawat Brunei

Amir Kuwait melawat Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Amir Kuwait, His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, dijadualkan tiba di sini, esok (11 Okt) bagi lawatan negara ke Brunei Darussalam atas jemputan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Kuwait di sini, satu delegasi, terdiri daripada lebih 80 orang kenamaan, ahli kerabat diraja dan pegawai kanan, akan mengiringi Amir ketika lawatan, termasuk Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Menteri Hal Ehwal Luar Negara, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, dan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Minyak, Anas Khaled Al-Saleh.

Lawatan tersebut adalah yang pertama oleh seorang pemimpin Kuwait dalam sejarah hubungan dua hala, diadakan di tengah pemulihan hubungan luar biasa di antara Kuwait dan Brunei, kata kenyataan itu lagi. Brunei dan Kuwait menjalin hubungan diplomatik sejak 26 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1990.

Sempena lawatan tersebut, beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai, meliputi kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan, pelancongan serta perniagaan dan industri.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam tempoh beberapa tahun lalu, hubungan Brunei dan Kuwait telah menyaksikan kemajuan luar biasa, yang digambarkan dalam pertukaran lawatan peringkat tinggi.

Lawatan negara oleh Baginda Sultan ke Kuwait pada 18-19 Mei 2015 atas jemputan His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, melancarkan fasa baru dalam usaha konkrit untuk menyokong kerjasama dalam pelbagai bidang di antara kedua-dua negara, di mana pegawai kanan dan komuniti perniagaan Kuwait dijemput untuk melawat Brunei dan mencari peluang perniagaan di Brunei.

Lawatan negara berkenaan juga menyaksikan majlis menandatangani MoU mengenai kerjasama pelaburan, yang merupakan satu langkah amat penting dalam menetapkan asas yang kukuh untuk mengeksploitasi potensi besar dan prospek luas untuk kerjasama Brunei-Kuwait.

Lawatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, ke Kuwait pada Mac 2014 yang berakhir dengan cadangan Duli Yang Teramat Mulia untuk menubuhkan sebuah Tabung Pelaburan untuk mempertingkat pelaburan bersama dan kerjasama kewangan.

Dalam satu inisiatif untuk menggalakkan diplomasi tidak rasmi di antara kedua-dua negara, satu Delegasi Parlimen, diketuai oleh Penolong Speaker Perhimpunan Agung Kuwait, mengadakan lawatan rasmi lima hari ke Brunei pada tahun lalu, di mana mereka berpeluang bertemu dengan rakan sejawatan Brunei.

Delegasi juga diberi penghormatan untuk mengadap Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, kata kenyataan itu lagi.

ARTIKEL YANG SAMA