Ammirol Ahmad juara kelas senior

Ammirol Ahmad juara kelas senior

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik hari ini berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis dan seterusnya mengurniakan hadiah kepada pemenang-pemenang Perlumbaan Go-kart sempena Sambutan Memperingati Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei Kepada Bandar Seri Begawan ke-45 Tahun 2015.

Keberangkatan Yang Teramat Mulia ke ibu negara dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar Haji Apong serta setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan juga Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan.

Sejurus keberangkatan, Yang Teramat Mulia seterusnya disembah kenalkan kepada seramai lebih 36 pelumba yang menyertai Perlumbaan Go-kart termasuk tujuh orang peserta dari Malaysia.

Ammirol Ahmad Mahmud dengan Go-kart bernombor 27 tampil juara kelas senior apabila mendahului di hadapan Muhd Jefrey Abdul Suresh yang terpaksa akur di tempat kedua diikuti oleh Haji Mohd Fauzan Haji Abdul Rahman di tempat ketiga.

Sementara itu dalam kelas Rookies pula, Ahmad Izzal Iman Haji Mohd Azlan yang berusia 14 tahun tampil juara apabila berjaya meninggalkan Abdullah Mahmood di tempat kedua dan tampil di tempat ketiga pula Pengiran Izat Razali.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan bergambar ramai bersama para pemenang dan peserta perlumbaan Go-kart tersebut.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan bergambar ramai bersama para pemenang dan peserta perlumbaan Go-kart tersebut.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan melepaskan pelumba-pelumba kategori Elit.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan melepaskan pelumba-pelumba kategori Elit.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengurniakan hadiah pemenang bagi Kelas Senior kepada Ammirol Ahmad Mahmud dari Negara Brunei Darussalam.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengurniakan hadiah pemenang bagi Kelas Senior kepada Ammirol Ahmad Mahmud dari Negara Brunei Darussalam.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyaksikan pameran kereta.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyaksikan pameran kereta.

Kelas terakhir iaitu Kelas Veteran pula diungguli Han Wee Yiau dari Malaysia yang dicabar sengit oleh Kamaluddin Haji Mohd Sai yang terpaksa menerima kedudukan kedua di hadapan Johny Kwa yang berada di tempat ketiga.

Han Wee Yiau, Ahmad Izzal Iman dan Haji Mohd Fauzan Abdul Rahman pula diumumkan sebagai penerima hadiah juara keseluruhan Kejohanan Go-kart Brunei Darussalam bagi tahun 2015 yang melabuhkan tirainya di ibu kota hari ini.

Pada perlumbaan akhir peringkat Senior, Ammirol Ahmad Mahmud diberikan tentangan hebat pesaing rapatnya Mohd Jeffrey yang beberapa kali membuat percubaan untuk memintas pelumba yang memandu Go-kart bernombor 27 itu.

Usaha Muhd Jeffrey hampir berhasil apabila di selekoh terakhir pusing ke-10 beliau berjaya memintas Ammirol Ahmad Mahmud sebelum aksi kejar-mengejar semakin rancak antara kedua-dua pelumba ini.

Namun pujian harus diberikan kepada Juara Pusingan Akhir Kejohanan Go-kart Brunei Darussalam bagi tahun 2015 hari ini kerana tidak memberikan sedikit pun ruang kepada Muhd Jeffrey untuk selesa di hadapan begitu lama.

Muhd Jeffrey hanya berjaya bertahan tidak lebih daripada dua pusingan apabila Ammirol Ahmad Mahmud merampas semula kedudukan pertama perlumbaan dan terus mempertahankannya sehingga ke kibaran bendera penamat pusingan ke-20.

Aksi menarik pelumba-pelumba di peringkat akhir ketiga-tiga kelas hari ini perlu diberikan pujian kerana ia menjadi tarikan dan menyemarakkan suasana di ibu kota Negara Brunei Darussalam yang berdesing dengan bunyi enjin Go-kart masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA