Amnesti Antarabangsa gesa Myanmar bebas 100 tahanan

Amnesti Antarabangsa gesa Myanmar bebas 100 tahanan

YANGON, 8 Okt (AFP) – Amnesti Antarabangsa hari ini menggesa Myanmar supaya membebaskan hampir 100 ‘tahanan kesedaran moral’ sebelum pilihan raya pada November, menuduh bekas negara yang diperintah oleh junta itu kembali kepada penindasan “cara lama.”

Setelah menerima pujian antarabangsa kerana menamatkan pemerintahan tentera berdekad-dekad lamanya pada 2011 dan melancarkan pembaharuan, kerajaan Presiden Thein Sein telah dikritik kerana kembali kepada cara lama mengenai hak asasi manusia.

Satu tindakan keras pada bantahan Mac oleh pelajar yang menuntut pindaan dilakukan kepada rang undang-undang pendidikan telah menimbulkan kebimbangan mengenai pengembalian kepada taktik penindasan yang digunakan ketika pemerintahan tentera.

Terdapat sekurang-kurangnya 91 “tahanan kesedaran moral yang dipenjarakan buat masa sekarang di Myanmar,” kata Amnesti Antarabangsa dalam satu laporan yang dikeluarkan hari ini.

“Pihak berkuasa telah mempertingkat tindakan keras ke atas kebebasan bersuara sejak setahun lalu,” kata Laura Haigh, Penyelidik Myanmar Amnesti Antarabangsa dalam satu kenyataan.

Kumpulan hak itu menggesa pembebasan tahanan dengan segera, termasuk berpuluh pembantah pelajar yang masih ditahan untuk perbicaraan berhampiran bandar Letpadan.

Daripada 81 pelajar yang menghadapi prosiding mahkamah, kira-kira 54 yang sedang ditahan dalam penjara, menurut Hla Myo Myint, seorang peguam untuk kumpulan yang berkata mereka masih menunggu satu permohonan untuk ikat jamin untuk mereka yang masih dipenjarakan.

“Pelajar berada dalam keadaan kurang sihat. Mereka tidak menerima layanan yang baik dalam penjara,” beritahunya sambil menambah menahan mereka sementara perbicaraan diteruskan adalah ‘seperti menghukum mereka terlebih dahulu’.