AMRI perlu laksanakan perkembangan Visi ASEAN 2025

AMRI perlu laksanakan perkembangan Visi ASEAN 2025

CEBU, Filipina, 17 Mac – Selepas memasuki fasa baru sebagai Satu Komuniti pada 2015, ASEAN memasuki tempoh yang lebih mencabar dan oleh itu Menteri-menteri ASEAN yang Bertanggungjawab Mengenai Penerangan (AMRI) perlu menambah nilai usahanya dalam memastikan kumpulan 10 negara Asia Tenggara itu tetap relaven dan dapat mencapai sasaran.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar semasa berucap pada Persidangan AMRI kali ke-13 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Lapu-Lapu City, Cebu hari ini turut menekankan mengenai penggunaan media dalam menangani maklumat yang kurang tepat, disebabkan oleh teknologi yang berkembang maju seperti media sosial dan media baharu (new media).

Persidangan tersebut telah dihadiri oleh menteri-menteri serta wakil-wakil Menteri Penerangan ASEAN.

Dalam mengongsikan beberapa perspektif dalam memajukan AMRI, beliau mengimbas kembali visi secara kolektif tentang Komuniti ASEAN yang mengutamakan masyarakat dan bertanggungjawab sosial.

Dato Paduka Haji Hamdan semasa menghadiri Persidangan Menteri-menteri ASEAN yang Bertanggungjawab Mengenai Penerangan (AMRI) and mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengannya.
Dato Paduka Haji Hamdan semasa menghadiri Persidangan Menteri-menteri ASEAN yang Bertanggungjawab Mengenai Penerangan (AMRI) and mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengannya.
Gambar ramai ahli Persidangan Menteri-menteri ASEAN yang Bertanggungjawab Mengenai Penerangan (AMRI) kali ke-13.
Gambar ramai ahli Persidangan Menteri-menteri ASEAN yang Bertanggungjawab Mengenai Penerangan (AMRI) kali ke-13.

Berikutan pencapaian AMRI sebelum tahun 2015, AMRI kini perlu memperkembangan Visi ASEAN 2025 dan Pelan Induk Komuniti Sosio-budaya ASEAN (ASCC) 2025.

Oleh itu, AMRI perlu bertindak secara strategik dan fokus dengan menggunakan langkah-langkah dan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menilai perkembangan dan, jika perlu membuat perubahan sewajar dengan waktunya.

Dato Paduka Haji Hamdan seterusnya menekankan tentang pengajaran yang diperolehi melalui Kajian Separuh Penggal (MTR) ASCC yang telah dijalankan oleh Brunei Darussalam pada tahun 2013.

Disebabkan sumber yang terhad, MTR telah menghasilkan cadangan mengenai keperluan untuk ASEAN mengutamakan projek-projek atau program-program yang memberikan impak siginifikan kepada masyarakat umum serta Komuniti ASEAN secara amnya.