Amukkan ‘Torn...

Amukkan ‘Tornado Woodward 1947’

KEJADIAN puting beliung yang melanda tiga buah negeri iaitu Oklahoma, Texas dan Kansas di Amerika Syarikat (AS) pada 9 April 1947 itu telah menjadikan beberapa bandar di negeri tersebut ibarat padang jarak padang tekukur.

Puting beliung kuat yang membadai ketiga-tiga negeri di kawasan tengah AS itu bukan sahaja menyebabkan kemusnahan teruk, malah turut meragut nyawa seramai 169 penduduk.

Menurut laporan meteorologi tempatan, kejadian tersebut terjadi apabila berlaku pertembungan cuaca sejuk yang dibawa dari Siberia dengan udara panas dan lembap dari Teluk Mexico sebelum terjadinya fenomena puting beliung pertama yang melanda bandar White Deer, Texas.

Di bandar Glazier, Texas, hanya sebuah stesen jana kuasa gas sahaja yang terselamat selepas berpuluh-puluh buah bangunan yang lain musnah sama sekali selepas dihentam taufan kuat.

Di bandar Huggins pula, dilaporkan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh selepas puting beliung mengganas dengan dahsyat sekali.

Amukan puting beliung yang turut dikenali sebagai Tornado Woodward itu bergerak sejauh 160 kilometer (km) dengan kelajuan mencecah 64km sejam (km/j) tanpa menunjukkan sebarang tanda ia akan reda kemudiannya menghala ke bandar Woodward di Oklahoma.
Amukan puting beliung yang turut dikenali sebagai Tornado Woodward itu bergerak sejauh 160 kilometer (km) dengan kelajuan mencecah 64km sejam (km/j) tanpa menunjukkan sebarang tanda ia akan reda kemudiannya menghala ke bandar Woodward di Oklahoma.

Amukan puting beliung yang turut dikenali sebagai Tornado Woodward itu seterusnya bergerak sejauh 160 kilometer (km) dengan kelajuan mencecah 64km sejam (km/j) tanpa menunjukkan sebarang tanda ia akan reda kemudiannya menghala ke bandar Woodward di Oklahoma.

“Keadaan menjadi huru-hara apabila banyak bangunan diterbangkan puting beliung dan disertai dengan petir kuat,” ujar Allen Street, Datuk Bandar Oklahoma kepada media.

Kejadian puting beliung itu turut membawa petir yang kuat berserta hujan batu sekali gus memaksa penduduk bandar mencari tempat perlindungan.

Kira-kira pada pukul 9 malam waktu tempatan, seluruh bandar Woodward diselubungi kegelapan ekoran bekalan elektrik terputus selain banyak pokok tumbang dan diterbangkan angin kencang.

Semasa puting beliung itu melanda bandar Woodward, sebanyak 200 buah rumah musnah dibawa angin kuat serta 1,000 buah kediaman lain hangus selepas terbakar.

169 orang mati

Laporan akhbar tempatan, Taunton Daily Gazette menyebut, bandar Woodward mempunyai jumlah penduduk sebanyak 5,500 orang.

Kebakaran turut dilaporkan berlaku di beberapa tempat, namun keadaan dapat dikawal berikutan hujan turut turun semasa kejadian.

Seramai 107 orang dilaporkan terbunuh di bandar Woodward, manakala beratus-ratus yang lain cedera sebelum puting beliung itu meninggalkan Oklahoma menghala ke Hardtner, Kansas.

“Puting beliung itu sungguh menakutkan,” ujar Ramona Kolander mengimbas kembali kejadian yang berlaku semasa dia berusia 18 tahun.

Kejadian puting beliung yang melanda tiga negeri di AS pada tahun 1947 itu dianggap sebagai antara fenomena paling lama, luas dan terburuk yang pernah berlaku di negara yang dikenali sebagai Uncle Sam itu.

Puting beliung yang melanda di ketiga-tiga buah negeri itu telah meninggalkan kesan kerosakan seluas 355km persegi dengan angka kematian seramai 169 orang, manakala 980 yang lain cedera.

Dalam pada itu, sebanyak 4,000 buah bangunan dilaporkan musnah teruk dengan nilai kerugian dianggarkan berjumlah AS$9.7 juta.

Bagi memperingati mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian puting beliung itu, sebuah galeri yang diberi nama Woodward Tornado Memorial telah dibuka di Woodward Centennial Park, Oklahoma pada tahun 1987 oleh Komuniti Darrel Johnston & Centennial.