Ana Ivanovic kembali menunjukkan kuasa

Ana Ivanovic kembali menunjukkan kuasa

PARIS, 1 Jun (Reuters) – Bekas juara, Ana Ivanovic akhirnya melangkah ke suku akhir kejohanan tenis Terbuka Perancis selepas berdepan ujian hebat sebelum menyingkirkan pemain Rusia, Ekaterina Makarova semalam.

Terpaksa bertarung dalam keadaan angin kencang, sebelum me­nunggu berjam-jam akibat perlawanan dihentikan kerana hujan, bekas pemain No. 1 dunia dari Serbia itu akhirnya menang 7-5, 3-6, 6-1.

Ivanovic, 27, juara Terbuka Perancis 2008 kini bakal berdepan pemain muda Ukraine, Elina Svitolina, 20, dalam aksi suku akhir.

Sementara itu, gerak hati Serena Williams berjaya membantunya bangkit daripada ditimpa kekalahan, sementara Novak Djokovic dan Andy Murray menyingkirkan dua pencabar dari Australia untuk melangkah ke pusingan keempat.

Beraksi di Gelanggang Philippe Chatrier, pemain No. 1 dunia, Williams menyingkirkan Victoria Azarenka dari Belarus 3-6, 6-4, 6-2.

Williams dipaksa bekerja keras menewaskan juara Terbuka Australia dua kali, Azarenka yang turun sebagai pilihan ke-27.

Pertembungan tegang antara kedua-dua pemain itu tidak dapat lari daripada kontroversi setelah Azarenka berang apabila dipaksa me­ngulangi aksi pungutan matanya ketika bermain dalam set kedua.

“Arahan tersebut cukup mengarut dan semua orang tahu mengenainya. Tetapi Serena merupakan juara yang hebat. Dia kadang kala tahu bagaimana untuk mengubah kedudukan,” kata Azarenka.

Dalam saingan lelaki, juara bertahan, Rafael Nadal berjaya me­numpaskan pencabar dari Rusia, Andrey Kuznetsov 6-1, 6-3, 6-2 untuk ke pusingan keempat.

Turut mengikut jejak langkah pemain Sepanyol itu ialah pilihan utama, Djokovic yang memburu gelaran sulung Terbuka Perancis. D jokovic menewaskan Thanasi Kokkinakis dari Australia 6-4, 6-4, 6-4.

Seorang lagi pemain muda Australia, Nick Kyrgios, 20, juga disekat kemaraannya apabila tewas kepada Murray 4-6, 2-6, 3-6.

Dalam perkembangan lain, Doris Hart, bintang tenis era 1950-an yang muncul pemain wanita kedua memenangi gelaran Grand Slam, meninggal dunia pada usia 89 tahun.

Hart, yang dianggap sebagai pemain tenis terbaik dunia pada 1951, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Coral Gables, Florida. Nama mendiang telah dimasukkan ke dalam senarai Dewan Kemasyhuran pada 1969.

ARTIKEL YANG SAMA