ANA mula khidmat penerbangan Narita, KLIA

ANA mula khidmat penerbangan Narita, KLIA

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) – Syarikat penerbangan Jepun, All Nippon Airways (ANA), semalam memulakan perkhidmatan penerbangan tanpa henti antara Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Tokyo dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut kenyataan bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan ANA hari ini, perkhidmatan baharu itu akan menggunakan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner.

Ketua Pegawai Operasi MAHB, Datuk Abd Hamid Mohd Ali, menyifatkan kehadiran ANA sebagai bukti jalinan ikatan ekonomi dan kebudayaan Malaysia dan Jepun.

“Kami rasa gembira melihat ANA mengiktiraf peluang pertumbuhan kukuh dalam pasaran Malaysia dan mereka amat teruja untuk memanfaatkan kesempatan itu,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Jualan ANA, Jun Katagiri, berkata bilangan rakyat Malaysia yang melawat Jepun terus meningkat sejak kerajaan Jepun melonggarkan syarat visa pada 2013.

“Tambahan pula tiada sebarang penerbangan langsung antara Malaysia dan Amerika Utara. Justeru, kami mengunjurkan lebih banyak permintaan bagi kedua-dua pasaran itu yang turut menjadikan Tokyo sebagai transit,” katanya. Menurutnya, bagi tempoh September sehingga November, lebih 60 peratus tempahan bagi laluan Narita-KL adalah dari luar Jepun dan kira-kira separuh daripadanya melibatkan permintaan antara Amerika Syarikat dan Asia yang melangkaui jangkaan ANA.

Perkhidmatan harian ANA dari KLIA bermula jam 7 pagi (waktu Malaysia) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada jam 3 petang (waktu Jepun). Penerbangan balik dari Tokyo berlepas jam 5.20 petang (waktu Jepun) dan tiba di Kuala Lumpur jam 11.35 malam (waktu Malaysia).

ANA turut bekerjasama dengan syarikat tempatan, Brahim’s Holdings Bhd bagi menawarkan pilihan sajian halal.

ARTIKEL YANG SAMA