Anak-anak cemerlang ABDB dihargai

Anak-anak cemerlang ABDB dihargai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Dengan hasrat untuk memberikan galakan dan motivasi kepada para pelajar untuk meneruskan usaha mereka dalam mencapai kejayaan di bidang akademik, seramai 102 orang anak-anak cemerlang Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) diraikan dan menerima anugerah mengikut kategori peperiksaan mereka dalam majlis penyampaian anugerah bersempena Hari Ulang Tahun ABDB ke-55 yang berlangsung di Dewan Pahlawan, Berakas Garison, hari ini.

Di majlis berkenaan, para penerima yang diraikan terdiri daripada dua orang penerima anugerah bagi Peperiksaan Awam Peringkat ‘A’, lapan orang bagi Peperiksaan Awam Peringkat ‘O’, 28 orang penerima bagi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), seorang penerima bagi Sijil Tinggi Peperiksaan Ugama Brunei, tiga orang bagi Sijil Peperiksaan Ugama Brunei dan 59 orang penerima bagi Peperiksaan Sekolah Rendah Ugama Darjah Enam.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para penerima yang diraikan ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Pengerusi majlis, Mejar (U) Mohd Yusree bin Haji Mohd Yusainey berkata, jumlah penerima yang diraikan dalam majlis berkenaan menunjukkan peningkatan dan ia merupakan satu peningkatan yang positif berkat daripada kerja keras para penerima dan sokongan berterusan para ibu bapa dan penjaga mereka.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih menyampaikan anugerah cemerlang kepada Awang Muhd Hafiy Rusyduddin.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih menyampaikan anugerah cemerlang kepada Awang Muhd Hafiy Rusyduddin.
Antara para penerima anugerah bersama ibu bapa dan penjaga mereka di majlis berkenaan.
Antara para penerima anugerah bersama ibu bapa dan penjaga mereka di majlis berkenaan.

Beliau turut berkata bahawa anugerah itu merupakan satu penghargaan yang amat bermakna bagi para penerima dan berharap ia boleh menjadi pembakar semangat bagi mereka untuk terus tekun belajar, bermotivasi dan rajin berusaha untuk terus meraih kejayaan dalam bidang akademik dan masa depan mereka.

Di majlis berkenaan, seorang pelajar iaitu Awang Muhd Hafiy Rusyduddin bin Haji Abdul Hadi dipilih untuk menerima anugerah cemerlang atas kejayaannya memperoleh High Distinction dalam Diploma di Sekolah Tinggi NUS.

Para penerima anugerah di majlis berkenaan bukan sahaja menerima hadiah sumbangan daripada ABDB tetapi mereka juga menerima hadiah sumbangan daripada DST Sdn Bhd dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei.

Majlis itu merupakan salah satu kegiatan tahunan yang diselitkan dalam kegiatan kemasyarakatan yang diadakan setiap tahun bersempena dengan Hari Ulang Tahun ABDB. Ia juga sebagai satu penghargaan yang diberikan kepada anak-anak anggota ABDB yang telah memperoleh pencapaian cemerlang dalam peperiksaan awam bagi 2015.

Penyampaian anugerah itu juga dihasratkan untuk menyuntik lagi semangat para penerima serta memberi motivasi dan galakan kepada anak-anak anggota ABDB yang lain untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA