Anak-anak yatim diberi perhatian

Anak-anak yatim diberi perhatian

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Seramai 5,213 orang anak yatim di seluruh negara yang berdaftar di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menerima sumbangan daripada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan, Tabung Dana Yatim Daerah Brunei dan Muara serta Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Sehubungan itu, seramai 3,377 orang anak yatim dari Daerah Brunei dan Muara menerima sumbangan masing-masing di Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Peringkat Kebangsaan 1436H/2015M yang telah berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, kelmarin.

Dalam pada itu, sumbangan anak-anak yatim dari daerah-daerah lain telah diwakili oleh pegawai-pegawai daerah masing-masing, dengan 771 orang anak yatim dari Daerah Belait, 822 dari Daerah Tutong dan 243 dari Daerah Temburong akan menerima sumbangan tersebut.

Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan derma berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD, Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah dan datin, serta Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Pada majlis itu, pihak BIBD turut menyumbangkan Skim Hadiah Galakan Pelajar-Pelajar Cemerlang kepada 11 orang anak yatim yang memperolehi kecemerlangan dalam tiga kategori, iaitu enam dalam kategori Penilaian Sijil Rendah (PSR), tiga dalam kategori Peperiksaan BCGCE ‘O’ Level dan dua dalam kategori Peperiksaan BCGCE ‘A’ Level.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyampaikan derma kepada anak-anak yatim dari Daerah Brunei dan Muara.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyampaikan derma kepada anak-anak yatim dari Daerah Brunei dan Muara.

pg05_150629_a

Setiap seorang daripada mereka menerima baucar tunai bernilai $500 bagi kategori PSR, $800 bagi BCGCE O Level dan $1,000 bagi Peperiksaan BCGCE ‘A’ Level. Hadiah-hadiah galakan ini telah disampaikan oleh Dato Paduka Haji Bahrin.

Jumlah sumbangan daripada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan kendalian JAPEM adalah sebanyak $260,650.50, Tabung Dana Anak Yatim daerah Brunei dan Muara berjumlah $101,310 dan BIBD telah menyumbangkan sebanyak $156,390.

Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis bersama, Hajah Noridah binti Abdul Hamid dalam ucapan alu-aluannya berkata sikap pemedulian dan keprihatinan terhadap kebajikan anak-anak yatim adalah sangat dituntut oleh agama Islam.

Dato Paduka Haji Bahrin menyampaikan Skim Hadiah Galakan Pelajar-Pelajar Cemerlang kepada anak-anak yatim.
Dato Paduka Haji Bahrin menyampaikan Skim Hadiah Galakan Pelajar-Pelajar Cemerlang kepada anak-anak yatim.
Sumbangan turut disampaikan oleh Datin Paduka Hajah Adina.
Sumbangan turut disampaikan oleh Datin Paduka Hajah Adina.

pg05_150629_e

“Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, kita merasa bersyukur kerana mempunyai masyarakat yang sangat prihatin terhadap nasib anak-anak yatim di negara ini dan sentiasa bermurah hati dalam menghulurkan derma sama ada secara berseorangan atau berkumpulan.”

Beliau berharap derma yang akan dihulurkan ini akan dapat menampung perbelanjaan anak-anak yatim untuk sama-sama bergembira menyambut Hari Raya yang akan menjelang tiba nanti.

Di samping itu, agar anak-anak akan dapat menggunakan derma-derma yang diterima dengan sebaik mungkin dan tidak membelanjakannya kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Hajah Noridah juga menyeru orang ramai agar mengekalkan dan mempertingkatkan keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim dan terus menghulurkan sumbangan kepada tabung ini.

Majlis ini merupakan acara tahunan anjuran bersama JAPEM dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama BIBD pada setiap bulan Ramadan.

ARTIKEL YANG SAMA