Anak-anak yatim terus diberi perhatian

Anak-anak yatim terus diberi perhatian

Oleh Siti Nur Wasimah S. & Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan di negara ini menunjukkan sikap prihatin mereka terhadap anak-anak yatim terutamanya dalam bulan Ramadan ini dengan menghulurkan derma kepada anak-anak yatim daripada warga kakitangannya.

Kementerian Pembangunan adalah antara yang menunjukkan keprihatinan tersebut dengan mengadakan Majlis Penyampaian Derma kepada Anak-anak Yatim yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, kementerian berkenaan, hari ini.

Di majlis berkenaan, seramai 54 orang anak yatim warga kementerian tersebut dan jabatan-jabatan di bawahnya menerima sumbangan derma yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan/divisyen, pegawai serta kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Derma yang disampaikan itu merupakan sumbangan daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim pada majlis berkenaan.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim pada majlis berkenaan.

pg05_160701_g

Majlis penyampaian derma itu merupakan kegiatan tahunan kementerian tersebut dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi menyemai perasaan tanggungjawab dalam kalangan pegawai dan kakitangan bagi sama-sama membantu dan memeduli anak-anak yatim dalam kalangan warga kementerian serta untuk menggalakkan dan memberikan kesedaran kepada mereka untuk memperbanyakkan amalan sedekah dalam bulan yang mulia dan penuh keberkatan.

Sementara itu, Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya pula menyampaikan derma kepada 46 orang anak yatim daripada warganya pada majlis yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian derma ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa semasa menyertai bacaan Surah Yasin dan Tahlil.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa semasa menyertai bacaan Surah Yasin dan Tahlil.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa semasa menyempurnakan penyampaian derma.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa semasa menyempurnakan penyampaian derma.

pg05_160701_i

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad, ketua-ketua bahagian dan jabatan, timbalan-timbalan ketua jabatan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan di kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan pula telah menyampaikan sumbangan kepada 20 orang anak yatim pada Majlis Khatam Al-Quran dan Sumbangan Derma yang berlangsung di Surau Utama, Bangunan Lama Kementerian Pendidikan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Perkhidmatan, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus. Turut hadiri ialah penolong pengarah, ketua-ketua bahagian dan unit, pegawai dan kakitangan Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-Perkhidmatan.

Pengiran Haji Rosli menyampaikan derma kepada anak-anak yatim pada majlis berkenaan.
Pengiran Haji Rosli menyampaikan derma kepada anak-anak yatim pada majlis berkenaan.

Penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim berkenaan telah disempurnakan oleh Pengiran Haji Rosli dan Penolong Pengarah Kewangan dan Perbekalan, Hajah Honeyta binti Haji Mustapha.

Majlis Khatam Al-Quran dan Program Hulur Bantu itu merupakan salah satu kegiatan keagamaan yang dijalankan setiap tahun dalam mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang penuh kemuliaan serta untuk meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda pada bulan yang penuh keberkatan itu.

Majlis itu juga bermatlamat untuk menyuntik semangat cintakan kitab suci Al-Quran di samping menerapkan budaya membaca Al-Quran dan beramal sebagai panduan kehidupan serta mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan warga kerja Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan.

ARTIKEL YANG SAMA