Anak-anak yatim terus diberi perhatian

Anak-anak yatim terus diberi perhatian

Oleh Hajah Saemah Kepli & Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Sempena bulan Ramadan ini, kebajikan anak-anak yatim di negara ini terus mendapat pemedulian daripada pelbagai pihak yang bermurah hati menghulurkan sumbangan derma agar mereka dapat sama-sama bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.

Sementara itu, hari ini, seramai 225 orang anak yatim dari Kampung Katok, Menglait, Kiulap, Kiarong serta Kampung Rancangan Perpindahan Negara Lambak Kanan telah menerima sumbangan daripada ahli-ahli Dewan Perniagaan India, yang diketuai oleh Awang Nazeer Ahmad bin Mohammed Zackiriah.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Antara yang menghulurkan sumbangan ialah Vishnu T.Punjabi daripada Parvati Textile Centre, Sulaiman Ayub Khan dari Sifana Sdn Bhd, Sameer Ahmad daripada Sameer Restoran dan Shajahan daripada Sitti Trading Sdn Bhd.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa arwah, diikuti dengan penyampaian derma oleh ahli-ahli Dewan Perniagaan India dengan disaksikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara.

Penyampaian derma daripada Dewan Perniagaan India turut disaksikan Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara.
Penyampaian derma daripada Dewan Perniagaan India turut disaksikan Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara.
Antara anak-anak yatim yang menerima sumbangan daripada ahli-ahli Dewan Perniagaan India.
Antara anak-anak yatim yang menerima sumbangan daripada ahli-ahli Dewan Perniagaan India.

Di Daerah Belait, seramai 17 anak yatim yang bersekolah di Sekolah St Margaret daripada 11 buah keluarga turut menerima sumbangan derma anak-anak yatim yang diadakan di sekolah tersebut, hari ini.

Penyampaian sumbangan derma kemudiannya telah disempurnakan oleh Pengetua Sekolah St Margaret, Awang Koh Hong Puah, selaku tetamu kehormat dan turut disaksikan oleh Ahli Lembaga Tadbir sekolah, Awang Venon Wang, guru-guru kanan, ibu bapa dan warga sekolah lainnya.

Majlis anjuran bahagian Hal Ehwal Pelajar sekolah itu merupakan yang ketiga diadakan, yang mana sumbangan berupa wang tunai dan minuman adalah daripada warga sekolah, termasuk guru-guru, ibu bapa dan para pelajar dengan hasrat ingin mengongsikan kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Awang Koh Hong Puah, menyerahkan sumbangan kepada salah seorang anak yatim sekolah itu.
Awang Koh Hong Puah, menyerahkan sumbangan kepada salah seorang anak yatim sekolah itu.
Antara anak yatim yang turut menerima sumbangan derma dari Sekolah St Margaret, kelmarin.
Antara anak yatim yang turut menerima sumbangan derma dari Sekolah St Margaret, kelmarin.

Sumbangan derma anak yatim merupakan aktiviti tahunan sekolah tersebut, yang antara lain bertujuan untuk membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga masing-masing.

Selain itu, pihak sekolah mahu melihat anak-anak yatim yang belajar di sana dapat bergembira bersama-sama menjelangnya Hari Raya nanti, walaupun tanpa orang tersayang di sisi mereka yang telah pergi selamanya.

Sumbangan yang turut diberikan kepada pelajar-pelajar bukan beragama Islam itu juga diharap akan dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan yang mereka tanggung dan dengannya akan dapat menampung keperluan mereka.

Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh guru agama, Awang Zaidillah bin Zainuddin, diikuti dengan ucapan alu-aluan Penyelia Bahagian Rendah Sekolah St Margaret, Dayang Hasnah binti Haji Awi, yang kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa arwah.

Di antara mereka yang hadir di majlis bertahlil di Balai Bomba.
Di antara mereka yang hadir di majlis bertahlil di Balai Bomba.
Yang Berhormat Haji Ramli menyampaikan derma kepada anak-anak yatim di majlis berkenaan.
Yang Berhormat Haji Ramli menyampaikan derma kepada anak-anak yatim di majlis berkenaan.

Manakala itu, Cawangan Operasi ‘E’, Bomba dan Penyelamat Daerah Tutong turut menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim bagi keluarga anggota Bomba dan Penyelamat di Majlis Bertahlil dan Doa Arwah yang berlangsung di Balai Bomba Bukit Beruang, kelmarin.

Hadir di majlis berkenaan dan menyempurnakan penyampaian derma kepada anak-anak yatim ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Telisai, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit serta Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Shabandi bin Haji Abdul Halim.