Anak-anak yatim terus dipeduli

Anak-anak yatim terus dipeduli

Oleh Fizah & Anwar Rosly

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Kebajikan anak-anak yatim terus diberi perhatian dalam melipatgandakan amalan pada bulan Ramadan yang mulia ini, yang mana seramai 64 orang anak yatim dari RPN Kampung Pandan ‘C’, hari ini, menerima sumbangan pada majlis yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, Kuala Belait.

Program tahunan anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pandan ‘C’ ini diadakan bagi membantu meringankan beban anak-anak yatim bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Hadir sebagai tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Superintenden Mohd Hadini bin Haji Othman.

Turut hadir ialah Penasihat MPK Pandan ‘C’, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi, Pengarah Urusan Syarikat Haji Yacob Taruddin, Haji Yunos bin Haji Yacob, dan wakil Brunei Shell Petroleum Company Sdn Bhd, Haji Muhd Asrul Saniy bin Haji Muhd Arif Lim.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Haji Abdul Afiq bin Haji Zainuddin.

 

Anak-anak yatim dari Kampung Pandan C menerima sumbangan derma daripada tetamu kehormat dan tetamu undangan khas yang lain.
Anak-anak yatim dari Kampung Pandan C menerima sumbangan derma daripada tetamu kehormat dan tetamu undangan khas yang lain.

Selepas penyampaian derma, majlis diikuti dengan mendengar tazkirah yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Haji Mail bin Besar.

Sementara itu, MPK Mata-Mata dan Ahli Jawatankuasa Takmir Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, Gadong juga telah mengadakan majlis seumpamanya bagi sembilan anak yatim dan penerima kebajikan terpilih di kampung berkenaan, yang berlangsung di balai ibadat itu.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penghulu Mukim Gadong ‘B’, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Takmir Balai Ibadat Kampung Mata-Mata-Mata, Gadong, Mejar (B) Haji Bakar bin Sapar, yang turut menyampaikan sumbangan derma bersama Ketua Kampung Mata-Mata, Haji Metali bin Haji Kamis, Pengerusi Jawatankuasa Takhmir Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, Haji Isa bin Haji Saban, wakil kumpulan Muslimah serta penderma persendirian.

Tetamu kehormat dan para jemputan khas lain menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim dari Kampung Mata-Mata.
Tetamu kehormat dan para jemputan khas lain menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim dari Kampung Mata-Mata.

Sebahagian daripada sumbangan derma berkenaan adalah daripada kutipan Tabung Amal Jariah MPK Mata-Mata manakala selebihnya sumbangan penduduk kampung sempena Majlis Doa Arwah dan Tahlil Sekampung 1436H/2015M, serta daripada Jawatankuasa akmir dan Muslimah Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, jemaah dan orang-orang persendirian.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, Haji Isa bin Haji Saban dan diselajurkan dengan bacaan tahlil dan doa arwah serta Majlis Berbuka Puasa yang diikuti dengan sembahyang fardu Maghrib berjemaah.