Anak ancam ibu ditahan reman

Anak ancam ibu ditahan reman

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki tempatan yang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memecahkan tingkap rumah dan mengancam ibunya dengan menggunakan pisau, ditahan reman di Penjara Jerudong selepas gagal mendapatkan ikat jamin $3,000 atau seorang penjamin tempatan.

Haji Muhammad Dhiyaulhaq bin Haji Ariffin, 21, berdepan dakwaan melakukan kerosakan dengan memecah tingkap rumahnya di Kampung Perumahan Rimba pada 12 Januari 2016 kira-kira jam 2 petang.

Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

pg06_160115_mahkamah logo2Tertuduh turut didakwa mengancam ibunya dengan kecederaan, dengan niat untuk menakutkannya dengan menunjukkan pisau ke arahnya.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga tiga tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria memaklumkan mahkamah bahawa dia akan memanggil sembilan orang saksi untuk memberikan keterangan dan memerlukan tiga hari untuk membuktikan kesalahannya.

Tertuduh bagaimanapun tidak mempunyai saksi untuk pembelaannya. Kes akan disebut semula pada 28 Januari untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

ARTIKEL YANG SAMA