Anak damit 4 bulan maut dalam kemalangan

Anak damit 4 bulan maut dalam kemalangan

SEMPORNA, 8 Jun – Seorang anak damit perempuan berumur empat bulan maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandu ayahnya melanggar bahagian belakang sebuah lori sampah di Kilometer 2, Jalan Seri Melor, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, Naurah Faqihah Mohd Ayub meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibunya, Nur Hafizah Nasiri, 28, mengalami kecederaan parah dengan patah tangan kiri dan tulang belakang.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Peter Umbuas dalam kenyataannya hari ini berkata ketika kejadian, kenderaan yang dipandu ayah mangsa, Mohd Ayub Maidi, 28, dalam perjalanan dari Kampung Bugayah ke pekan Semporna.

Katanya apabila tiba di lokasi kejadian, Mohd Ayub gagal mengelak lalu melanggar bahagian kanan belakang lori sampah berkenaan yang diletakkan di tepi jalan.

Akibat perlanggaran itu, kenderaan dipandu Mohd Ayub terbabas ke dalam gaung di sebelah kanan jalan manakala lori sampah berkenaan ke sebelah kiri jalan.

Peter berkata ketika kejadian, Naurah Faqihah dipercayai dipangku oleh ibunya di kerusi penumpang sebelah pemandu. – Bernama