Anak damit dibuang di gerai

Anak damit dibuang di gerai

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 8 Jun – Seorang anak damit perempuan yang dibalut dengan kain sarung, dipercayai dibuang, telah ditemui di atas meja sebuah gerai kawasan Kampung Sungai Bakong Lumut, hari ini.

Menurut jurucakap Balai Polis Sungai Liang, mereka menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan itu daripada orang awam kira-kira pukul 12:20 tengah hari tadi.

Anak damit kira-kira 2.02 kilogram berat itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait untuk pemeriksaan, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan ditemui dan anak damit itu dilaporkan dalam keadaan baik.

Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penemuan anak damit itu supaya menghubungi Balai Polis Sungai Liang atau talian kecemasan 993.

Dalam pada itu, anggota polis dari Unit Penderaan Wanita dan Kanak-kanak serta Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) turut menjalankan siasatan lanjut mengenai kes pembuangan anak damit itu.

Gerai di mana anak damit perempuan berkenaan ditemui tengah hari kelmarin.
Gerai di mana anak damit perempuan berkenaan ditemui tengah hari kelmarin.

Sementara itu, beberapa orang pekerja mencuci kereta berdekatan gerai berkenaan, ketika ditemui memberitahu mereka tidak mendengar tangisan anak damit sehingga pemilik gerai berkenaan menemuinya.

Mereka juga berkata, selalunya gerai itu dibuka pada waktu petang, tetapi hari ini, pemiliknya membukanya kerana hendak membuat kerja membersihkan gerai berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA