Anak damit dikerat 15 bahagian ditemui di loji kumbahan

Anak damit dikerat 15 bahagian ditemui di loji kumbahan

JOHOR BAHARU, 18 Mei – Mayat anak damit yang baru lahir ditemui dikerat kira-kira 15 bahagian dalam loji kumbahan di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata mayat anak damit itu disedari oleh beberapa pekerja ketika mereka membersihkan loji itu kira-kira pukul 10.30 pagi.

Beliau berkata penyelia syarikat kontraktor pembersihan tersebut kemudiannya menghubungi pihak polis.

“Para pekerja tersebut menemui anggota-anggota badan anak damit itu tersangkut pada perangkap sampah. Mereka kemudiannya mengumpul dan membersihkan anggota badan berkenaan dan mendapati ia merupakan anggota badan seorang anak damit.

“Dipercayai pihak yang melakukan perbuatan itu cuba menghapuskan bukti dengan mengepam (ke dalam tandas) anggota-anggota badan yang dipotong itu. Namun bahagian kepala anak damit itu tidak dijumpai,” katanya.

Mohd Khamsani berkata pihak polis masih mencari bahagian kepala anak damit berkenaan dan anggota badannya yang lain.

“Pihak kami dalam proses mencari anggota yang belum dijumpai termasuk mengesan tandas yang tersumbat (di PPR itu). Ada kemungkinan bahagian badan boleh ditemui di situ,” katanya.

Beliau berkata siasatan akan dijalankan di klinik berhampiran dan sekitar PPR tersebut yang terdiri daripada empat blok 17 tingkat yang didiami kira-kira 6,000 penghuni.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai sangat kejam dan di luar kewarasan kemanusiaan. – Bernama