Anak damit diraikan sempena ulang tahun penubuhan PBSM

Anak damit diraikan sempena ulang tahun penubuhan PBSM

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 9 Mei – Bersempena Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia dan Ulang Tahun Penubuhan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam ke-68 tahun, PBSM cawangan Daerah Tutong telah meraikan seorang anak damit lelaki yang baru dilahirkan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong, pagi tadi.

Anak damit lelaki seberat 3.095kg berkenaan telah selamat dilahirkan pada jam 1:57 petang kelmarin, yang mana pada setiap 8 Mei merupakan sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia sekaligus merupakan sambutan Ulang Tahun Penubuhan PBSM ke-68.

Anak damit lelaki berkenaan merupakan anak kedua kepada pasangan warganegara Indonesia yang tinggal di Kampung Kupang iaitu Abdul Malik bin Ismail dan Nurhayati binti Marjo Adi Sudarmo.

Hadir menyampaikan cenderahati penghargaan kepada anak damit berkenaan ialah isteri Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Hajah Rusmah binti Haji Muksin.

Hajah Rusmah menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada anak damit yang baru dilahirkan.
Hajah Rusmah menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada anak damit yang baru dilahirkan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Daerah PBSM cawangan Daerah Tutong, Awang Mohd Isa bin Johari.

Menurut Awang Mohd Isa ketika ditemubual, penyampaian cenderahati berupa sijil penghargaan dan hamper barangan anak damit itu adalah sebagai mengingati Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia dan Ulang Tahun Penubuhan PBSM Brunei Darussalam.

Dengan bertemakan “Every-where for Everyone”, majlis tersebut merupakan kali pertama diadakan di negara ini dan pada tahun ini, seramai 16 orang anak damit telah dicatatkan dan diraikan di hospital masing-masing.