Anak damit ditemui dalam kotak

Anak damit ditemui dalam kotak

MIRI, 3 Nov (Bernama) – Seorang anak damit perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui orang awam di Taman Ceria Permyjaya pada awal pagi ini.

Ketua Polis Miri ACP Junaidi Bujang berkata anak damit perempuan tersebut dijumpai dalam keadaan sihat tubuh badan serta ditinggalkan dalam sebuah kotak dan dibalut dengan kain.

“Semasa anak damit tersebut ditemui saksi tidak melihat individu lain bersama dengan anak damit tersebut dan anak damit itu dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata polis bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan daripada orang awam pada 5:38 pagi ini.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membuang anak damit.