Anak damit ditemui dijaga JKM

Anak damit ditemui dijaga JKM

MIRI, 25 Nov – Anak damit perempuan baru lahir yang ditemui orang awam di tepi jalan petang semalam akan dijaga sementara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Polis Miri ACP Khoo Heng Luat berkata, JKM akan mendapatkan perintah mahkamah untuk penjagaan sementara mengikut Seksyen 17(1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Setakat ini belum ada tangkapan dibuat,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan kes anak damit itu yang dipercayai baru dilahirkan lingkungan dua hingga empat jam semalam.

Beliau berkata, anak damit tersebut dalam keadaan sihat dan masih menerima rawatan di unit penjagaan rapi Hospital Miri.

Anak damit perempuan itu ditemui di tepi jalan Tudan Desarus berdekatan Tudan Fasa Enam Lutong di sini, dengan badan dibaluti kain sarung batik biru serta tali pusat belum dipotong bersama uri. – Bernama