Anak damit Hijrah diraikan

Anak damit Hijrah diraikan

Oleh Salawati Haji Yahya & Hajah Saemah Kepli

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Seramai 12 orang anak damit telah dilahirkan pada 1 Muharram 1437 Hijrah di seluruh negara, lahir bermula masuk waktu Maghrib 1 Muharram 1437 Hijrah hingga waktu Asar 1 Muharram 1437 Hijrah, diraikan dalam majlis penyampaian hadiah sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah 1437.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 11 kelahiran dicatatkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), di sini, dan satu lagi di Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Daerah Belait, sementara itu tiada kelahiran dicatatkan di Daerah Tutong dan Daerah Temburong.

Di Daerah Brunei dan Muara, majlis penyampaian hadiah berlangsung di Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital RIPAS dan hadir menyampaikan hadiah ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman dan isteri, Datin Hajah Alimah binti Mohd Taib.

Turut menyempurnakan penyampaian ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof dan isteri, Datin Paduka Hajah Salmah binti Haji Hanafiah.

Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sumbangan hadiah kepada salah seorang ibu anak damit yang lahir pada 1 Muharram 1437 Hijrah.
Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sumbangan hadiah kepada salah seorang ibu anak damit yang lahir pada 1 Muharram 1437 Hijrah.
Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan sumbangan hadiah dari TAIB.
Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan sumbangan hadiah dari TAIB.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyampaikan sumbangan hadiah dari STBD.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyampaikan sumbangan hadiah dari STBD.
Dayang Zamzaipa menyampaikan cenderahati sumbangan TAIB.
Dayang Zamzaipa menyampaikan cenderahati sumbangan TAIB.

Anak damit pertama yang dilahirkan pada Awal Tahun Hirah 1437 ialah anak damit perempuan kepada pasangan Harish Dareshwar dan Sharayu Harish Dareshwar pada pukul 1:05 pagi.

Anak-anak damit berkenaan, yang terdiri daripada enam lelaki dan lima perempuan, menerima hadiah daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) berupa akaun simpanan TAIB berjumlah $200 dan hamper anak damit yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah TAIB dan isteri, Datin Hajah Kalsom binti Haji Suhaili.

Sementara itu, Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd dan Anak-Anak Syarikatnya (STBD) menghulurkan sumbangan berupa baucar bernilai $250 bagi penyertaan Takaful Nur Savings, selain pengusung anak damit dan set anak damit Tollyjoy yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof selaku Ahli Lembaga Pengarah STBD dan isteri, Datin Hajah Norliana binti Haji Aarif Lim.

Pada hari yang sama, di Daerah Belait, majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Hospital SSB, meraikan seorang anak damit lelaki, yang merupakan anak ke-10 pasangan Awang Sukardi bin Mohd Yassin dan Pengiran Rosemawati binti Pengiran Ismail.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rahmah binti Haji Mohd Said yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah berupa barangan anak damit dan buku Panduan Kelahiran/Nama-nama Anak Damit sumbangan KHEU.

Sementara itu, sumbangan daripada Perbadanan TAIB telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Am Perbadanan TAIB, Dayang Zamzaipa binti Haji Ismail, dan sumbangan STBD disampaikan oleh Penolong Pengurus Besar Jabatan Tuntutan Takaful, Dayang Suriawati binti Marali.

Selain melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T atas kelahiran anak damit pada hari yang baik dan bersejarah serta membesarkan Sambutan Awal Tahun Hijrah, majlis ini merupakan salah satu cara menyebarkan dakwah Islamiah dan menjadikan Taqwim Hijrah terus mendapat tempat penggunaannya dari semasa ke semasa.

ARTIKEL YANG SAMA