Anak damit jadi umpan untuk merompak

Anak damit jadi umpan untuk merompak

BUENOS AIRES 16 Okt – Sekumpulan perompak bersenjata menggunakan seorang anak damit lelaki sebagai umpan untuk merompak sebuah kedai pakaian di ibu kota Buenos Aires, Argentina.

Menurut portal Mail Online, perompak tersebut turut membiarkan anak damit itu merangkak di sekitar kedai ketika mereka mencuri wang tunai dan pakaian berjenama di kedai itu.

Kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu menunjukkan satu pasangan pada mulanya memasuki premis tersebut dengan seorang wanita dilihat mendukung seorang anak damit tersebut, berpura-pura kononnya ingin membeli pakaian.

Mereka kemudiannya melihat beberapa pakaian sebelum mendekati pemilik kedai itu, Marcelo Taraborrelli untuk mengugutnya memberikan wang tunai.

Beberapa saat selepas itu, suspek lelaki menarik Taraborrelli dan memaksanya meniarap di lantai sementara anak damit berkenaan dibiarkan merangkak sekitar kedai.

Seorang lagi lelaki yang menunggu di luar kemudian masuk ke dalam kedai dan menerajang Taraborrelli sebelum mengancamnya dengan pistol dan mengikatnya sebelum merampas wang tunai.

Taraborrelli memberitahu, wanita yang mendukung anak damit itu keluar membawa sebuah kereta ke hadapan kedai sebelum kembali dan mencuri pakaian bernilai kira-kira kira-kira 50,000 peso.