Anak damit, kanak-kanak mangsa tragedi bot karam baru

Anak damit, kanak-kanak mangsa tragedi bot karam baru

ATHENS, Greece, 13 Sept (AFP) – Kira-kira 28 orang, separuh daripada mereka adalah anak damit dan kanak-kanak, lemas dalam tragedi bot penghijrah di luar Greece hari ini, menurut pengawal pantai.

Kematian terbaru yang berlaku di Laut Aegean itu muncul ketika Athens dengan berang mempertahankan pengendaliannya ke atas krisis pelarian yang memuncak di Eropah.

Empat anak damit dan 10 kanak-kanak – lima lelaki dan lima perempuan – di antara 112 orang dalam bot usang apabila ia karam di luar pulau Farmakonisi selatan Aegean, lapor Agensi Berita Athens.

Lapan daripada mangsa berkenaan ditemui oleh juruselam pengawal pantai yang menemui bot berkenan.

Seramai 68 orang lagi diselamatkan dari laut sementara 29 lagi berjaya berenang ke tepian pantai pulau itu, menurut pengawal pantai.

Pengawal pantai juga masih mencari empat kanak-kanak yang hilang selepas bot lain karam di Samos pulau Greece kawasan luar pantai Turki pada Sabtu.

Tragedi terbaru itu berlaku selepas kematian seorang anak damit Syria yang mayatnya ditemui terdampar di pantai Turki, menjadi simbol menyedihkan lagi menyayat hati bagi para pelarian yang lari daripada perang.

Persatuan Penghijrah Antarabangsa telah mengatakan lebih 430,000 penghijrah dan pelarian telah menyeberangi Mediterranean ke Eropah sejauh ini pada 2015, dengan 2,748 mati atau hilang dalam perjalanan.