Anak damit perempuan lahir dalam pesawat

Anak damit perempuan lahir dalam pesawat

NEW DELHI, 17 Ogos – Seorang wanita telah melahirkan anak damit perempuan pramasa namun dalam keadaan sihat semasa dalam penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu menuju ke Filipina, yang memaksa pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan di India.

Ibu berkenaan, yang dijangka tarikh melahirkan dua bulan lagi, telah melahirkan di dalam pesawat penerbangan Pacific Air Cebu pada Ahad ketika ia terbang dari Dubai ke Manila, rakannya sepenumpang, Missy Berberabe Umandal menyiarkan dalam laman sesawangnya.

Atendan penerbangan yang panik mula meminta bantuan perubatan – dan menemui dua jururawat dalam kalangan penumpang – sebelum mengubah hadapan kabin menjadi bilik bersalin sementara.

“Kami hanya mendengar bunyi pekikan separa nyaring, dan selang beberapa saat kemudian, terdengar bunyi tangisan kecil, comel, dan kami tahu anak damit berkenaan sudah lahir. Nasib baik, dia hanya terpaksa meneran hanya sekali,” kata Umandal dalam catatannya, dengan gambar menunjukkan ibu memegang anak damitnya yang baru lahir, dibaluti selimut. Kerakyatan ibu berkenaan tidak diketahui.

Atendan penerbangan dan jururawat berkenaan membersihkan anak damit menggunakan air mineral dan mengenakan pakaian baju anak damit yang didermakan oleh penumpang lain yang membawa anak damit.

Juruterbang melakukan pendaratan cemas di bandar Hyderabad selatan India, oleh itu, ibu dan anak damit yang baru lahir dapat menerima rawatan perubatan sebelum meneruskan perjalanan ke Manila.

“Selepas pemeriksaan awal daripada kakitangan perubatan, mereka telah dipindahkan ke pusat penjagaan ibu dan anak di sebuah hospital di bandar tersebut,” kata pegawai keselamatan lapangan terbang Hyderabad memberitahu AFP.

“Anak damit dan ibu dalam keadaan selamat dan di bawah pengawasan perubatan.”

Wanita itu, ibunya sendiri yang membuat perjalanan bersamanya, dan anak damit berkenaan telah diberi visa sementara tiga hari, yang sepertinya akan dilanjutkan sehingga ibu dan anak damit berkenaan selamat untuk kembali terbang, kata pegawai.

Syarikat penerbangan terbesar Filipina, Pacific Air Cebu, berkata dalam satu kenyataan kepada AFP, bahawa ia adalah pertama kali seorang anak damit telah dilahirkan di dalam pesawatnya, menggelar kelahiran itu satu ‘peristiwa penting’.

Syarikat itu berkata ia memberi anak damit itu satu juta poin dalam program ganjaran gaya hidup, yang bersamaan dengan kira-kira 10,000 penerbangan satu hala di Filipina. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA