Anak damit pertama Thailand didiagnosis mikrosefali Zika

Anak damit pertama Thailand didiagnosis mikrosefali Zika

BANGKOK, 30 Sept – Pihak berkuasa kesihatan Thai berkata hari ini bahawa mikrosefali yang dialami oleh dua anak damit adalah disebabkan oleh Virus Zika, dalam apa yang dipercayai sebagai kes Asia Tenggara pertama yang disahkan mempunyai kaitan antara penyakit dan kecacatan kelahiran.

“Dua daripada tiga anak damit (diuji) mempunyai mikrosefali kerana Virus Zika itu,” kata pegawai Kementerian Kesihatan Wicharn Pawan kepada AFP.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu ini berkata, sebarang kes yang disahkan di Thailand akan menjadi yang pertama yang dikenal pasti di Asia Tenggara.

Zika kebanyakannya hanya menyebabkan gejala ringan, termasuk demam, sakit mata dan ruam. Tetapi wanita hamil berhadapan dengan risiko terhadap mikrosefali dan akan mengalami risiko terhadap anak damit yang dilahirkan.

Pihak berkuasa Thai telah memantau 36 wanita hamil yang dijangkiti virus.

Awal minggu ini doktor Thai telah mengesahkan dua bayi lainnya tidak mempunyai kaitan dengan kes Zika, virus yang disebarkan oleh nyamuk.

Saintis memberi amaran bulan ini bahawa dunia perlu bersedia untuk ‘wabak global’ daripada mikrosefali.

Thailand menjangka sehingga 17 peratus daripada KDNK yang akan dijana daripada pelancongan menjelang akhir tahun ini dan wabak Zika boleh menjejaskan jumlah pengunjung.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat hari ini telah mengeluarkan nasihat perjalanan menggesa wanita hamil untuk “mempertimbangkan dan menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke negara-negara Asia Tenggara dengan laporan Virus Zika”. – AFP