Anak damit terperangkap sejam dalam kereta

Anak damit terperangkap sejam dalam kereta

KEPALA BATAS, 6 Jan (Bernama) – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan terperangkap di dalam sebuah kereta milik ibunya selepas kenderaan itu terkunci dari dalam di sebuah taska di Bertam Indah, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pulau Pinang berkata dalam kejadian pada pukul 7:45 pagi itu, ibu kanak-kanak berkenaan yang berusia 30-an dikatakan menghantar seorang lagi anaknya ke taska dan meninggalkan anak bongsunya itu di dalam kereta.

“Ibu kanak-kanak itu yang merupakan penjawat awam menghantar anak perempuannya berusia lima tahun ke taska itu sebelum menghantar anak bongsunya ke rumah pengasuh.

“Wanita itu meninggalkan anaknya di dalam kereta dan memberikan kunci kereta itu untuk anaknya bermain…anak kecil itu tertekan butang ‘lock’ pada alat kawalan kunci kereta itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai menghubungi JPAM Kepala Batas pukul 8:15 pagi setelah gagal membuka pintu kereta itu dan anggota JPAM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membuka pintu kereta tersebut.