Anak damit terselamat nahas pesawat kargo

Anak damit terselamat nahas pesawat kargo

JUBA, Sudan Selatan 6 Nov (Agensi) – Seorang anak damit terselamat dalam nahas pesawat kargo di tebing Sungai Nil Putih, Sudan Selatan, petang semalam yang mengakibatkan 41 orang terbunuh, ketika pasukan keselamatan meneruskan usaha mencari kotak hitam dan saki baki mayat yang masih belum ditemui.

Laman web Daily Express melaporkan, anak damit berusia 14 bulan itu merupakan salah seorang daripada dua orang penumpang yang terselamat dalam nahas tersebut, sebelum seorang penumpang terbabit meninggal dunia akibat kecederaan teruk.

Anak damit tersebut dikenali sebagai Nyloak Tong dan kini menerima rawatan di sebuah hospital di Juba, Sudan Selatan.

“Dipercayai anak damit ajaib itu menaiki pesawat berkenaan bersama ibu dan empat orang abangnya. Kesemua keluarga itu kecuali anak damit berkenaan maut dalam kejadian itu,” kata sumber.

Jurucakap Presiden Sudan Selatan, Ateny Wek Ateny berkata, pesawat jenis Antonov itu didaftarkan di Tajikistan dan dimiliki syarikat Allied Services Limited.

Nyalou Thong berusia satu tahun, yang terselamat daripada nahas kapal terbang kargo berada di sebuah hospital di Juba. - AFP
Nyalou Thong berusia satu tahun, yang terselamat daripada nahas kapal terbang kargo berada di sebuah hospital di Juba. – AFP

“Nahas itu turut mengorbankan lima orang anak kapal warga Armenia dan seorang warga Rusia. Pesawat itu turut membawa 12 orang penumpang yang kesemuanya rakyat tempatan,” jelas Ateny, sambil menambah kata, 10 orang penduduk yang tinggal berhampiran kawasan nahas turut maut dalam kejadian tersebut.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Lapangan Terbang Juba, Stephen Warikozi berkata, usaha mencari saki baki mayat dan kotak hitam pesawat itu sedang dipergiatkan.

Setiausaha Ketiga Ukraine di Kenya, Alexander Kalinchuk berkata, pesawat kargo berkenaan diperbuat di Rusia dan bertanggungjawab mengangkut bekalan minyak dari beberapa buah syarikat di Sudan Selatan.

Stesen televisyen Rusia LifeNews mendedahkan maklumat daripada sumber yang enggan dikenali bahawa pesawat Kesatuan Soviet yang dibina pada 1971 itu kelihatan seperti membawa lebihan muatan.

ARTIKEL YANG SAMA