Anak damit yang ditemui di garaj, disahkan meninggal dunia

Anak damit yang ditemui di garaj, disahkan meninggal dunia

Oleh Anwar Rosly

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Seorang anak damit yang dipercayai ditemui oleh seorang perempuan dalam garaj telah disahkan meninggalkan dunia oleh Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei di sini malam ini, berdasarkan laporan awal, perempuan berkenaan memberitahu bahawa dia telah menemui anak damit tersebut di garaj rumah ibu saudaranya dan masih hidup.

Dia kemudiannya membawa anak damit tersebut ke rumah sakit di Kuala Belait dan memaklumkan bahawa anak damit tersebut telah meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital.

Susulan itu, Balai Polis Seria dan Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei dengan serta merta membuat siasatan ke atas kes berkenaan dan setelah siasatan, pihak polis berjaya mengenal pasti ibu bapa anak damit tersebut. Ibu anak damit tersebut telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kenyataan itu berkata, bedah siasat ke atas anak damit malang itu telah segera dijalankan untuk memastikan punca kematian. Kes tersebut juga turut dihadapkan ke Jabatan Pembangunan Masyarakat bagi menjalankan siasatan sosial terhadap keluarga yang terlibat, bagi memastikan kesejahteraan pihak-pihak yang berkenaan.

Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei turut menafikan mengenai kejadian dua budak digantung sampai mati, yang tersebar dalam media sosial, hari ini serta mengesahkan bahawa tiada maklumat mengenainya diterima.

Maklumat dan gambar yang menunjukkan dua orang budak digantung sampai mati itu telah tersebar meluas melalui media sosial dan telah mengejutkan penduduk apabila ia dikatakan berlaku di sebuah rumah di Kampung Panaga, Seria.

Tinjauan Media Permata ke tempat ‘kejadian’ dan menemui jiran-jiran yang tidak ingin dikenali memberitahu, ada yang sudah nampak kehadiran kenderaan polis dari awal pagi hingga lewat petang ini.

Pihak polis, dalam kenyataannya, sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita yang belum pasti kebenarannya atau membuat mana-mana andaian mengenai hal ini kerana ia boleh mencemaskan orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA