Anak Kedayan juarai pusingan ketiga golf WAITGC

Anak Kedayan juarai pusingan ketiga golf WAITGC

Pulau Pinang, 9 Jun – Pasukan daripada Brunei Darussalam menjuarai saingan pusingan ketiga Kejohanan Golf Berpasukan Dunia (WAITGC) 2016 yang diadakan di sini, hujung minggu lalu.

‘Anak Kedayan’ yang diwakili Khairul Jamaludin, Suhaimi Ibrahim, Qawwim Aslimin dan Shaiful Rizal Ahmad mengungguli pusingan berkenaan selepas menghimpunkan 940 pukulan keseluruhan.

Pada aksi pertama di Kelab Golf Pulau Pinang (PGC), mereka mencatatkan 562 pukulan, manakala di Bukit Jawi Golf Resort, mengumpulkan sebanyak 478 pukulan. Selain juara berpasukan, tonggak pasukan Anak Kedayan, Qawwim yang bermain kosong handicap dipilih sebagai pemain terbaik pusingan ketiga selepas mencatat jumlah pukulan keseluruhan terendah iaitu 304.

“Kami sangat gembira untuk melangkah sekali lagi ke pusingan akhir WAITGC dan berharap dapat muncul juara di pusingan akhir nanti,” kata Qawwim.

Pasukan Anak Kedayan bergambar ramai bersama Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tourism Malaysia dan Presiden Persatuan Pengurus Kelab Golf Malaysia. - Gambar BH
Pasukan Anak Kedayan bergambar ramai bersama Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tourism Malaysia dan Presiden Persatuan Pengurus Kelab Golf Malaysia. – Gambar BH

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga berpasukan, masing-masing menjadi milik pasukan dari Australia. Forster Beach Bums menduduki tempat kedua dengan himpunan 962 pukulan, manakala Perfect Storm ditempat ketiga (1,047 pukulan).

Bagi kategori stableford pula, ia menjadi milik pasukan Australia, Nights Owl selepas mengumpulkan mata tertinggi iaitu 391 untuk mengenepikan Sureshots (310 mata).

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tourism Malaysia, Saidi Bundan dan Presiden Persatuan Pengurus Kelab Golf Malaysia, Mohd Rom Muslim.

ARTIKEL YANG SAMA