Anak Kuat Brunei berjaya lagi

Anak Kuat Brunei berjaya lagi

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Mac – Tenaga luar biasa seorang kanak-kanak berusia lapan tahun telah mengagumkan orang ramai yang menyaksikan Pertunjukkan Anak Kuat Brunei di Pusat Beli-Belah KB Sentral, di sini, petang kelmarin.

Awang Aiman Mujibur sekali lagi berjaya membuktikan kekuatannya sebagai seorang kanak-kanak apabila berjaya menarik dua buah kereta sekali gus pada pertunjukan berkenaan.

Kedua-dua buah kereta tersebut ditarik sejauh kira-kira 40 meter di kawasan lapang pintu masuk utama KBSentral sebagai salah satu acara menceriakan lagi Jerayawara Pameran Toyota di pusat beli-belah tersebut.

Awang Aiman mula dikenali sebagai Anak Kuat Brunei setelah berjaya menarik sebuah kereta jenis Avanza sejauh kira-kira 100 meter di kawasan Kampung Panaga Seria ketika berusia tujuh tahun, dan baru-baru ini telah berjaya menarik sebuah bas.

Awang Aiman Mujibur sekali lagi berjaya membuktikan kekuatan luar biasanya dengan menarik dua buah kereta sekali gus sejauh kira-kira 40 meter di kawasan Pusat Beli-Belah KBSentral baru-baru ini.
Awang Aiman Mujibur sekali lagi berjaya membuktikan kekuatan luar biasanya dengan menarik dua buah kereta sekali gus sejauh kira-kira 40 meter di kawasan Pusat Beli-Belah KBSentral baru-baru ini.

Beliau yang sentiasa mendapat sokongan daripada ibu bapanya, yang juga turut menjaga permakanan dan kesihatan anak mereka, pada masa ini menyasarkan untuk menarik sebuah helikopter.

Program itu yang dijangka dinamakan Brunei ASEAN Nombor Satu dan akan dirancang dilakukan di Miri, Sarawak.

Pada masa ini Aiman dan ibu bapanya berharap untuk mendapatkan penaja bagi program berkenaan sebagai usaha mengangkat nama Negara Brunei Darussalam untuk melakar nama dalam Guinness Book of Record.

Majlis tersebut telah diakhiri dengan penyampaian Cenderahati Penghargaan daripada pihak Pengurusan Pusat Beli-Belah KBSentral kepada Awang Aiman atau lebih dikenali sebagai Anak Kuat Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA