Anak luar nikah diiktiraf sebagai anak yatim

Anak luar nikah diiktiraf sebagai anak yatim

Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan

 

pg01_160317_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Anak-anak luar nikah adalah diiktiraf sebagai anak-anak yatim menurut Hukum Syarak, sebagaimana yang difatwakan oleh Mufti Kerajaan yang diterbitkan dalam Buku Fatwa 2001.

Ini dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika menjawab persoalan Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah binti Haji Sulaiman yang bertanya mengapa di negara ini anak luar nikah diiktiraf sebagai anak yatim.

Menurut Yang Berhormat Pehin, anak-anak yatim ialah pertama, kanak-kanak yang tidak mempunyai bapa, kedua, kanak-kanak daripada anak luar nikah, ketiga, anak pungut dan empat, kanak-kanak yang dinafikan dengan sebab diaan atau sumpah antara suami isteri bagi menafikan keturunannya atau nasaabnya.

“Jadi berdasarkan kepada Hukum Syarak demikian itulah pengiktirafannya.

“Alhamdulillah kitani di Brunei apabila sesuatu perkara untuk ditetapkan tiada undang-undang yang tertentu kita merujuk kepada Hukum Syarak dan sah bahawa Hukum Syarak mengiktirafnya sebagai anak yatim,” jelasnya lagi.

Yang Berhormat Datin Hajah Salbiah dalam soalannya menjelaskan bahawa permohonan bantuan Dana Anak Yatim Al-Muhtadee Billah telah meningkat sebanyak 130 peratus iaitu daripada jumlah 1,756 orang pada tahun 2014 kepada 4,404 seperti yang dilaporkan di media tempatan pada Oktober tahun lalu.

“Walaupun di negara ini kadar kematian dalam kalangan lelaki lebih tinggi daripada kaum perempuan namun kadar kematian secara keseluruhannya sejak kebelakangan ini tidak menunjukkan peningkatan yang serius, yang boleh menjadi penyebab ke atas meningkatnya jumlah anak-anak yatim yang begitu mendadak seperti yang telah dilaporkan,” jelasnya

Menurut Yang Berhormat Datin Hajah Salbiah, memang setiap kanak-kanak yang dilahirkan adalah berada dalam keadaan fitrah bersih tanpa dosa ini termasuk anak-anak luar nikah yang juga wajib diberikan layanan yang baik. Anak luar nikah juga mempunyai status atau taraf-taraf tertentu tertakluk bila ia dilahirkan selepas pernikahan kedua ibu bapanya.

ARTIKEL YANG SAMA