Anak maut, ibu cedera parah

Anak maut, ibu cedera parah

LABUAN, 3 Jan (Bernama) – Seorang kanak-kanak berusia lima tahun meninggal dunia, manakala ibunya yang berusia 34 tahun cedera parah dalam kemalangan di Jalan Pohon Batu, di sini Sabtu malam.

Dalam kejadian pada kira-kira 8 malam itu, kedua-dua mangsa dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah bandar untuk menuju ke Pohon Batu ketika mereka menyeberangi jalan.

Timbalan Ketua Polis Labuan DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Muhammad Shahraziq Shahridan dan ibunya bernama Ermawaty Ab Wahab.

Menurut beliau, pemandu kenderaan berusia 32 tahun itu kini ditahan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut.

“Kanak-kanak itu meninggal dunia di hospital, manakala emaknya masih dirawat kerana kecederaan serius,” katanya.