Anak muda perlu giat aktif

Anak muda perlu giat aktif

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 2 Nov – Para belia di STKRJ Kampung Mumong dan kawasan sekitarnya dinasihatkan menggunakan Pusat Aktiviti Majlis Perundingan Kampung (MPK) di bangunan berek kampung tersebut dengan sewajar-wajarnya selain disarankan agar mengikuti aktiviti-aktiviti yang diadakan oleh biro-biro MPK di sini.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin yang juga selaku Ketua Kampung Mumong ketika ditemui baru-baru ini seterusnya berkata, beliau ingin melihat anak-anak muda di kampung tersebut bergiat aktif dan menggalakkan diri untuk mengikuti pelbagai aktiviti yang dijalankan di Pusat Aktiviti tersebut.

Penglibatan mereka sebagai generasi baru, ujar beliau, akan dapat dilatih sebagai pengganti jawatankuasa MPK masa kini, dan beliau menyatakan keyakinan bahawa generasi kreatif masa kini dapat membawa idea-idea baru demi keberkesanan MPK ke arah wawasan dan juga aspirasi negara sebagai sebuah masyarakat belia yang maju.

“Banyak aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa MPK Kampung Mumong melalui biro-biro seperti Biro Wanita, Keagamaan, Sukan, Biro Belia sendiri dan sebagainya,” tegas beliau.

Yang Berhormat bersama ahli jawatankuasa yang lain ketika bersenamrobik dalam mempromosikan gaya hidup sihat.
Yang Berhormat bersama ahli jawatankuasa yang lain ketika bersenamrobik dalam mempromosikan gaya hidup sihat.
Yang Berhormat Haji Mohd Yusof ingin melihat anak-anak muda di kampung tersebut menceburkan diri mengikuti pelbagai aktiviti yang dijalankan di Pusat Aktiviti tersebut.
Yang Berhormat Haji Mohd Yusof ingin melihat anak-anak muda di kampung tersebut menceburkan diri mengikuti pelbagai aktiviti yang dijalankan di Pusat Aktiviti tersebut.

Beliau menyatakan pendapat, jika biro-biro ini dapat disuntik lagi dengan penglibatan belia kampung, maka mereka akan dapat mengetahui aktiviti-aktiviti kampung dan menimba pengalaman daripada apa yang mereka pelajari dan tahu akan selok-belok pengurusan jawatankuasa MPK bagi kegunaan pada masa hadapan apabila mereka menggantikan ahli jawatankuasa MPK yang lama.

“Belia merupakan warisan negara dan semestinya akan menjadi pengganti pemimpin-pemimpin negara pada masa hadapan nanti, justeru itu pembabitan mereka dalam kerja-kerja MPK akan dapat membina jiwa seorang pemimpin dan Insya Allah membawa kemajuan dalam kampung ini dari segi perniagaan terutamanya mempromosikan ‘Satu Kampung Satu Produk’, mempromosikan gaya hidup sihat dengan aktiviti-aktiviti riadah dan kesihatan, serta lain-lain lagi,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof telah merasmikan Pondok Maklumat Penggunaan Peralatan Senaman baru di Taman Persiaran Sungai Belait dan melancarkan Program P.A.R.K (Program Aktiviti Riadah Kesihatan) di Taman Cendera Kenangan, Kuala Belait.