Anak panda semakin aktif

Anak panda semakin aktif

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) – Nuan Nuan, anak panda betina kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari China kini berusia hampir 10 bulan, kekal sihat dan semakin aktif dengan berat badan 25 kilogram.

Dengan rupa yang comel, susuk tubuh yang bulat dan berbulu hitam putih, menjadikannya daya tarikan pengunjung di Zoo Negara.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata anak panda yang dilahirkan pada 18 Ogos tahun lalu kini sudah pandai memanjat dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.

“Nuan Nuan menunjukkan peningkatan yang baik dan cepat dengan saiz badan yang besar sekarang ini agak sukar untuk didukung.

“Dia (Nuan Nuan) masih menyusu dan sedang cuba makan apa yang ibunya makan seperti pucuk buluh dan kek panda dalam ‘jumlah’ yang sangat sedikit. Itu sifat semula jadi panda apabila mencecah usia 10 bulan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

SIHAT... Nuan Nuan, 10 bulan, anak panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari China yang lahir di Zoo Negara berada dalam keadaan sihat dengan berat badan 25 kilogram. – Bernama
SIHAT… Nuan Nuan, 10 bulan, anak panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari China yang lahir di Zoo Negara berada dalam keadaan sihat dengan berat badan 25 kilogram. – Bernama

Rosly berkata Xing Xing dan Liang Liang amat menggemari kek panda yang dikukus, resipi dari China yang mengandungi ramuan berkhasiat seperti telur, kacang soya, jagung, beras dan minyak jagung.

Menurutnya keadaan cuaca panas yang melanda negara baru-baru ini tidak menjadi masalah kerana suhu bilik penempatan pasangan panda dan anaknya boleh dikawal.

“Habitat ini memang suka tempat yang sejuk. Kami akan sentiasa pastikan suhu bilik panda itu tidak melebihi 35 darjah Celsius,” katanya.

Nuan Nuan, yang bermaksud ramah mesra dipilih sebagai nama tempatan bagi anak pasangan panda itu, diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 7 April lalu melalui ‘Pertandingan Menamakan Anak Panda Gergasi’ yang dianjurkan akhir tahun lepas.

Pasangan panda gergasi itu telah dipinjamkan oleh kerajaan China sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing, tiba di negara ini pada 21 Mei 2014.

Rosly  berkata, Zoo Negara telah mengadakan program sukarelawan sejak pertengahan Mac lepas untuk masyarakat awam bersama-sama membantu menjaga keluarga panda itu dan sambutannya sangat menggalakkan.

“Setakat ini kami telah menerima 15 penyertaan sebagai sukarelawan dan empat daripada permohonan itu adalah pelancong luar negara.

“Kami akan menghantar satu salinan permohonan kepada kementerian (Sumber Asli dan Alam Sekitar) untuk kelulusan kerana program ini melibatkan aset negara,” katanya.

Seorang sukarelawan Lim Fang Jin, 34, dari Jalan Ipoh, Kuala Lumpur berkata program itu memberinya pengalaman yang sangat berharga kerana beliau dapat mempelajari habitat panda dengan lebih dekat dan berpeluang untuk melaksanakan khidmat masyarakat.

“Kami berkumpul tiga hari seminggu dari 8 pagi hingga 5 petang, akan diberikan taklimat mengenai aspek keselamatan. Kami akan membersihkan tempat panda, membasuh dan memotong daun buluh sebelum diberi makan kepada panda,” katanya.