Anak peneroka Felda dilantik CEO FGV

Anak peneroka Felda dilantik CEO FGV

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) – Anak peneroka Felda, Datuk Zakaria Arshad, 56, dilantik menerajui konglomerat perladangan dan syarikat pengeluar minyak sawit mentah utama dunia, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Syarikat itu mengumumkan pelantikan Zakaria sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) yang baharu, berkuat kuasa 1 April.

Zakaria yang kini memegang jawatan sebagai Naib Presiden Eksekutif/Ketua Kluster Hiliran Sawit di FGV, akan menggantikan Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah yang tamat kontrak setelah berkhidmat lebih tiga tahun sebagai CEO dan Presiden Kumpulan pada 31 Mac, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Anak peneroka FELDA Palong 1, Negeri Sembilan, Zakaria telah berkhidmat dengan Kumpulan FELDA lebih 32 tahun, sejak 1984 termasuk FELDA Rubber Industries Sdn Bhd, Malaysia Cocoa Manufacturing Sdn Bhd, FELDA Rubber Products Sdn Bhd dan FELDA Marketing Services Sdn. Bhd. Beliau kemudian dilantik sebagai CEO Delima Oil Products Sdn Bhd sebelum menjadi Ketua Kluster Hiliran Sawit pada Januari 2014.

ARTIKEL YANG SAMA