Anak Sarawak dilantik pengerusi Bernama

Anak Sarawak dilantik pengerusi Bernama

PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) – Datuk Seri Azman Ujang dilantik sebagai pengerusi Bernama, agensi berita nasional yang mana beliau pernah menjadi pengurus besar dan ketua pengarang.

Pelantikan wartawan kelahiran Sarawak yang berkuat kuasa 1 Feb itu adalah bagi menggantikan Datuk Abdul Rahman Sulaiman yang telah berkhidmat sebagai pengerusi ke-10 Bernama selama enam tahun.

Azman merupakan orang yang pertama menyandang tiga jawatan tertinggi iaitu sebagai Pengerusi, Pengurus Besar dan Ketua Pengarang bagi agensi yang ditubuhkan 48 tahun lalu.

Pelantikan Azman 1mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyerahkan surat pelantikan itu kepada Azman di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.

Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (tengah) menyampaikan surat perlantikan kepada Datuk Seri Azman Ujang (kanan) pada majlis penyerahan Surat Perlantikan Anggotai Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Bernama di Kompleks KKMM. – Bernama
Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (tengah) menyampaikan surat perlantikan kepada Datuk Seri Azman Ujang (kanan) pada majlis penyerahan Surat Perlantikan Anggotai Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Bernama di Kompleks KKMM. – Bernama

Azman menyandang pelbagai jawatan di Bernama dalam kariernya yang menjangkau 37 tahun sebelum bersara sebagai pengurus besar pada 2008. Beliau dilantik memegang jawatan itu pada Mac 2007. Beliau memulakan kariernya dengan Bernama sebagai seorang pemberita kadet di Biro Bernama Sarawak pada 1971 dan dinaikkan pangkat untuk mengetuai Biro Bernama Sabah pada 1982.

Tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai pengarang berita Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama. Azman dinaikkan pangkat ke pelbagai jawatan dalam agensi berita itu, termasuk penolong pengarang Meja Berita, Meja Rencana dan pemangku editor Meja Rencana dan Meja Berita Antarabangsa sebelum menjadi ketua pengarang pada 2004.

Azman dilantik sebagai penasihat editorial Bernama hingga September 2009.

Beliau juga merupakan penasihat BernamaTV mulai Julai 2008 hingga April 2010. Sementara itu, Salleh juga menyampaikan surat pelantikan kepada Ahli Lembaga Pengelola Bernama di pejabatnya di sini.

Mengulas pelantikannya, Azman menyifatkannya sebagai “kemuncak bagi karier saya yang panjang dalam kewartawanan”. Azman berkata beliau berharap peningkatannya dalam profesion ini akan memberi inspirasi kepada generasi muda, tanpa mengira profesion mereka, untuk memberikan usaha mereka yang terbaik bagi menghasilkan kerja yang bermutu dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Azman mengakui cabaran yang akan dihadapi dalam usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan editorial Bernama, terutamanya dalam persekitaran semasa media yang sangat kompetitif.

Bernama, yang ditubuhkan pada tahun 1967 sebagai sebuah agensi berita dan penyebar maklumat, kini mengendalikan pelbagai perkhidmatan berita termasuk BernamaTV, saluran berita 24 jam di Astro 502, dan Bernama Radio24, stesen radio berita 24 jam.

ARTIKEL YANG SAMA