Anak sulung N...

Anak sulung Nora bertunang

KUALA LUMPUR – Anak sulung penyanyi, Nora Ariffin, dan komposer, Johan Nawawi, Mohd Syakir Iman, 24, selamat melangsungkan pertunangan dengan pilihan hatinya, Eilya Sofea Azman, dalam majlis sederhana di kediaman keluarga gadis berkenaan.

Berkongsi kegembiraan itu menerusi perkongsian beberapa keping foto di laman Instagramnya, Nora atau Wan Norafizah Wan Ariffin, berkata selain faktor kedua-duanya sudah lama berkenalan, majlis pertunangan itu juga diadakan kerana bakal menantunya akan melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Memandangkan mereka sudah tiga tahun berkawan dan Sofea pula akan melanjutkan pelajaran ke Rusia dalam bidang perubatan dalam masa terdekat, kami berasakan lebih elok jika mereka ditunangkan. Cuma, kami tidak menetapkan berapa lama kedua-duanya akan bertunang. Sebagai ibu, apa yang terbaik buat anak, saya ikutkan saja. Tidak salah rasanya jika dia berkahwin muda asalkan bijak mengemudi rumah tangga yang bakal dibina. Saya dulu pun berkahwin muda dan Alhamdulillah, tahun ini usia perkahwinan kami bakal mencecah angka 25 tahun,” kata Nora.

Anak sulung penyanyi, Nora Ariffin, Mohd Syakir Iman selamat melangsungkan pertunangan dengan pilihan hatinya, Eilya Sofea Azman.
Anak sulung penyanyi, Nora Ariffin, Mohd Syakir Iman selamat melangsungkan pertunangan dengan pilihan hatinya, Eilya Sofea Azman.

Ditanya mengenai nasihat diberikan kepada anak lelaki dan tunangnya itu, Nora berkata, paling penting mereka perlu bersedia dari segi fizikal serta mental.

“Anak saya baru saja menghabiskan pengajian peringkat diploma dan selepas ini dia kenalah bekerja sebagai persediaan untuk masa depannya. Buat Sofea pula, saya berharap dia dapat menerima anak saya dengan seadanya,” ujarnya. Syakir yang turut dikenali dengan nama Mosyi pernah menghasilkan sebuah lagu berjudul Bulan.