Anak tempatan diundang menyampaikan ceramah di Sarawak

Anak tempatan diundang menyampaikan ceramah di Sarawak

Oleh Anwar Rosly

Gambar oleh Delwin Keasberry

 

KUALA BELAIT – Anak tempatan Brunei, Awang Delwin Keasberry bersama tujuh lagi penceramah yang lain telah berkumpul untuk menyampaikan ceramah TED (Technology, Entertainment, Design) di Majlis TEDx pertama yang dikendalikan di Universiti Curtin Miri, Sarawak.

Awang Delwin dijemput sebagai rakyat Brunei pertama yang dipelawa ke majlis yang julung kalinya diadakan di Timur Malaysia iaitu TEDxCurtinUSarawak bagi memberi peluang kepadanya untuk berbicara dan berkongsi idea di hadapan mahasiswa-mahasiswa Universiti Curtin, yang diadakan di auditorium universiti tersebut.

Dalam majlis itu, selain Awang Delwin, tujuh lagi penceramah lain yang dijemput ialah bekas pemenang Miss World & Universe Malaysia dan Pengasas Bersama Sekolah Fugee; Deborah Henry, Pengasas Flying V dan Persidangan Kepimpinan Borneo Youth; Vinodh Menon, Pengasas Projek WHEE!; Daniel Devan, Alena Murang seorang artis muzik tradisi yang mempersembahkan lagu tradisional Kelabit dengan menggunakan seruling dan mewakili institusi pendidikan di Majlis TEDx itu ialah Profesor Clem Kuek Dekan Penyelidikan dan Pembangunan, Dr. Dominique Dodge-Wan Profesor Madya Geologi Gunaan dan Jean-Paul Mouton Ketua Unit Operasi Khas Pejabat Antarabangsa.

Menurut Awang Delwin, beliau berasa sangat teruja kerana diberi peluang untuk mengongsikan pengalaman dan ideanya.

Barisan penceramah di TEDxCurtinUSarawak yang diadakan di Universiti Curtin, Miri Sarawak.
Barisan penceramah di TEDxCurtinUSarawak yang diadakan di Universiti Curtin, Miri Sarawak.
Awang Delwin Keasberry ketika berucap di TedxCurtinUSarawak.
Awang Delwin Keasberry ketika berucap di TedxCurtinUSarawak.
Delwin Keasberry sewaktu menerima penghargaan.
Delwin Keasberry sewaktu menerima penghargaan.

“Ia merupakan satu pengalaman berharga apabila diberikan kesempatan untuk bercakap di TEDxCurtinUSarawak dan saya mengemukakan pembentangan kertas kerja saya mengenai topik ‘Menggunakan Suara Digital anda dengan Tujuan’ yang menyentuh mengenai penggunaan media sosial dengan tujuan untuk membawa kebaikan kepada orang ramai,” jelas beliau.

Awang Delwin terkenal melalui hasil kerja beliau iaitu personaliti media sosial BruneiTweet dan pernah terlibat dalam banyak acara komuniti seperti Twestival Brunei pada tahun 2011, Movember pada tahun 2012 dan yang terbaru, Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini.

Beliau juga telah mengambil bahagian dalam pelbagai forum termasuk Persidangan Kebangsaan Alam Sekitar Brunei, Forum Kepimpinan ASEAN 100 di Manila, dan Pertukaran Media SosiaL ASEAN di Thailand.

Pada tahun 2014, beliau telah dipilih untuk mewakili Brunei bagi Program Pemimpin Baru Australia-ASEAN.

Selain itu, beliau juga telah dijemput untuk memberikan ucapan pada Majlis TEDx sulung Brunei, TEDxGadong pada tahun yang sama.

ARTIKEL YANG SAMA