Anak tempatan peroleh Kelas Pertama di UK

Anak tempatan peroleh Kelas Pertama di UK

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Salah seorang penuntut muda terbaik dari Brunei, Vance Tan Zong Hao telah menamatkan pengajian dari Universiti Warwick dengan Ijazah Kelas Pertama (Kepujian) dalam bidang Sarjana Kejuruteraan Awam.

Zong Hao melahirkan rasa gembira setelah menerima ijazah cemerlang yang disampaikan oleh Naib Canselor Profesor Stuart Croft, pada satu majlis yang dihadiri oleh Pengarah Pengajian dari Suruhanjaya Tinggi Brunei, Awang Ahmad Faisal bin Haji Zainal Abidin.

Menurut satu kenyataan di sini, Zong Hao melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) melalui biasiswa yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Brunei, dan mengikuti pengajian di Universiti Warwick pada 2012.

Beliau menyuarakan rasa gembira dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana memberinya peluang melanjutkan pengajian lebih tinggi ke UK menerusi biasiswa Kementerian Pendidikan Brunei.

Di samping kejayaan dalam akademik, Zong Hao juga aktif dengan kegiatan di kampus.

Vance Tan Zong Hao bergambar bersama Awang Ahmad Faisal dan Naib Chanselor Universiti Warwick.
Vance Tan Zong Hao bergambar bersama Awang Ahmad Faisal dan Naib Chanselor Universiti Warwick.

Beliau ketika ini memegang jawatan Setiausaha Penerangan bagi Kesatuan Penuntut Brunei (UK dan Eire), dan pernah menyandang jawatan Presiden Bruwick (Persatuan Brunei Warwick) pada sesi 2013/14.

Zong Hao juga seorang Pegawai Perhubungan Awam Penuntut bersama Institusi Kejuruteraan Awam dan Institusi Kejuruteraan Struktur dan Perwakilan Kursus di Warwick bagi Kejuruteraan Awam pada tahun ketiga dan keempat pengajian ijazahnya.

Di samping itu, beliau juga Pengerusi Persatuan Kejuruteraan Awam dan Struktur Warwick (CASE) pada 2014, persatuan yang ditubuhkannya bagi memberikan inspirasi kepada penuntut–penuntut kejuruteraan muda bagi melanjutkan kerjaya dalam bidang Kejuruteraan Awam.

Bercakap mengenai pengalamannya ketika berada di Universiti Warwick, Zong Hao berkata, “Ketika saya memohon bagi universiti menerusi sistem UCAS di peringkat ‘A-Level, saya menjangka Universiti Warwick akan memberikan asas penyelidikan yang baik buat penyelidikan saya di mana universiti ini telah ditempatkan dalam ranking ke tiga dalam penyelidikan pendidikan.”

Beliau menambah, “Setelah mendapatkan ijazah dari universiti Russell Group adalah prospek yang menarik secara peribadi, dan saya ingin berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Brunei begitu juga dengan Unit Penuntut Brunei di London yang memberikan sokongan dalam perjalanan akademik saya di Warwick.

“Saya berterima kasih kepada Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke United Kingdom, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin atas ucapan tahniah Tuan Yang Terutama dan menghargai kehadiran Awang Ahmad Faisal pada majlis penerimaan ijazah bagi pihak Tuan Yang Terutama.”

Sementara itu, Awang Ahmad Faisal berkata beliau berbangga dengan pencapaian Zong Hao: “Ia adalah satu penghormatan untuk menghadiri majlis penyampaian ijazah Vance hari ini (19 Julai).

“Kami berbangga dengan pencapaiannya dan kami juga berterima kasih kepada Universiti Warwick kerana sokongan, bukan hanya kepada Vance, tetapi kepada semua penuntut Brunei di sini.

“Saya percaya Warwick bekerja keras dan dedikasi untuk menyokong penuntut-penuntut Brunei, jadi kami bangga dengan universiti dan berbangga dengan penuntut kami di sini. Saya berharap pencapaian Vance akan memberikan inspirasi kepada penuntut lain,” jelasnya lagi.

Kini, Zong Hao akan meneruskan pengajiannya di Universiti Warwick, setelah diterima untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Coastal Engineering pada September 2016, di bawah seliaan Dr. Jonathan Pearson.

ARTIKEL YANG SAMA