Anak tempatan tembusi pasaran luar

Anak tempatan tembusi pasaran luar

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Sebuah syarikat pemaju aplikasi mudah alih milik anak tempatan yang bermula dengan penciptaan aplikasi pesanan makanan dalam talian untuk 20 buah restoran tempatan kini berjaya meluaskan pasaran ke arena antarabangsa dengan mewujudkan rangkaian pasaran dan perkongsian bijak dengan rakan niaga dari Filipina, Hong Kong dan Korea.

Syarikat Dotroot Technologies yang mengasaskan aplikasi mudah alih pesanan makanan Foodfuel kira-kira tiga tahun lalu kini menumpukan sepenuh usaha tujuh pengasas bersamanya yang bekerjasama dengan rakan niaga dari Filipina untuk mencipta aplikasi mudah alih pesanan bernama FIID, yang kini di peringkat prototaip, bagi pasaran dalam talian di negara itu.

Dotroot Technologies juga sedang di peringkat menandatangani kontrak dengan sebuah hospital di Macau, Hong Kong untuk memperkenalkan aplikasi pesanan makanan dalam talian bagi pesakit hospital tersebut,

selain dianugerahkan hak pengedar tunggal mesin cetak 3-dimensi berjenama Moment 3-D Printer daripada syarikat pengeluar dari Korea.

Ketika bercakap kepada Media Permata mengenai syarikatnya, Ketua Pegawai Eksekutif Dotroot Technologies, Haji Muhammad Saufi bin Haji Jumahat berkata, syarikat diasaskan oleh beliau bersama enam lagi rakannya dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD), yang mana lima daripada mereka mengendalikan aspek teknikal sementara dua lagi bertanggungjawab terhadap aspek pemasaran produk ciptaan mereka.

Haji Muhammad Saufi (depan, kanan) bersama rakan pengasas Dotroot Technologies.
Haji Muhammad Saufi (depan, kanan) bersama rakan pengasas Dotroot Technologies.

Beliau yang juga terlibat mereka cipta aplikasi berkata, semua idea untuk menerokai bidang aplikasi mudah alih bermula ketika beliau dan beberapa rakannya menghasilkan sebuah aplikasi sebagai projek tahun akhir mereka di UTB, yang kemudiannya berjaya menarik minat beberapa buah syarikat tempatan.

Mereka mendapat tawaran untuk memulakan sebuah syarikat di bawah program ‘incubatee’ yang dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Dotroot Technologies dan dari situ mula ditawarkan projek-projek profesional seperti mengadakan usaha sama dengan Darussalam Holdings untuk mencipta aplikasi Wadihah Haji bagi kemudahan para jemaah Haji dan Umrah.

“Aplikasi Foodfuel yang kami perkenalkan pada 2013 telah memenangi tempat pertama dalam pertandingan Cabaran Keusahawanan IGNITE anjuran i-Centre dan tempat ketiga dalam Pertandingan Anugerah ICT Negara Brunei Darussalam (BICTA) anjuran AITI, manakala sebuah lagi aplikasi sosial yang kami namakan Eventloop juga turut memenangi tempat ketiga pada pertandingan BICTA.”

Haji Muhammad Saufi menjelaskan, penyertaan mereka dalam pertandingan IGNITE dan BICTA adalah semata-mata untuk mengumpul dana modal untuk mengembangkan lagi syarikat mereka.

Dotroot Technologies telah menerima hadiah sebanyak $20,000 pada pertandingan IGNITE dan $50,000 lagi diperoleh dalam bentuk geran bagi syarikat baru yang diterimanya daripada LKEB.

Beliau seterusnya menjelaskan, produk aplikasi kedua ciptaan syarikatnya, FIID, akan digunakan untuk menerokai pasaran pesanan makanan dalam talian di Makati, Filipina, melalui kerjasama dengan sebuah syarikat berpangkalan di Filipina yang akan menarik minat restoran-restoran untuk menggunakan aplikasi FIID bagi menambah pesanan pelanggan.

Seterusnya, aspek kedua perniagaannya ialah dalam pembangunan aplikasi yang mana Haji Muhammad Saufi dan rakan-rakannya telah mencipta beberapa aplikasi termasuk aplikasi Eventloop yang diperkenalkan semasa Ekspedisi Amal BIBD–ALAF 2014 dan aplikasi Fotovent yang direka dengan kerjasama Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) pada 2015.

Sebuah lagi aplikasi yang bakal dilancarkan pada tahun ini ialah aplikasi bagi memudahkan penggunanya memilih tempat makan, menu dan bandingan harga yang ditawarkan oleh setiap restoran.

Haji Muhammad Saufi turut akur akan halangan dan kekangan yang harus dihadapi dalam memastikan syarikat beliau terus menghasilkan produk-produk yang dapat berdaya saing di pasaran dalam talian.

ARTIKEL YANG SAMA